5 ahli keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dituduh semai ideologi pengganas

Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram bulan lalu didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas sembilan pertuduhan berasingan, termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas IS.

Tertuduh ialah bapa suspek, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya yang juga warga Singapura, Rosna Jantan, 59.

Tiga lagi tertuduh ialah abang suspek, Radin Romyullah Radin Imran, 34, kakaknya Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan adiknya Mariah Radin Imran, 19.

Berita Harian melaporkan tiada pengakuan direkodkan selepas sembilan pertuduhan dibacakan kepada lima tertuduh di depan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Radin Imran berdepan empat tuduhan, termasuk Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, iaitu menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas.

Fahaman itu didakwa disemai kepada semua ahli keluarganya membabitkan Radin Luqman, 21, suspek yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, isterinya serta tiga anak lain.

Bagi pertuduhan kedua, Radin Imran didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan sehingga berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senapang angin buatan sendiri untuk melakukan aktiviti kumpulan pengganas IS.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki buku bertajuk “Hakikat Islam & Hakikat Syirik” oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman berkaitan kumpulan pengganas IS.

Warga emas itu dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan itu, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Radin Romyullah selaku suspek kedua juga didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, iaitu memiliki cakera keras mengandungi bahan berkaitan IS dan perlakuan pengganas.

Tertuduh ketiga hingga kelima pula ialah Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah yang didakwa di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan, iaitu sengaja tidak memberikan maklumat berkaitan kesalahan dilakukan membabitkan Seksyen 130J(1)(a) serta Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan.

Lima sekeluarga itu berdepan hukuman penjara tujuh hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta digunakan untuk melakukan kesalahan berkenaan akan dirampas, jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram antara April 2017 hingga 17 Mei lalu.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P Kunyalam dan Fazeedah Faik, manakala lima tertuduh tidak diwakili peguam.

Mustaffa memaklumkan mahkamah tiada jaminan ditawarkan kepada lima tertuduh yang ditahan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hakim memerintahkan tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 31 Julai ini bagi pengurusan kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam serangan 17 Mei lalu, dua anggota polis Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala suspek berusia 21 tahun itu mati ditembak.

Tragedi itu turut mencederakan Mohd Hasif Roslan, 38, yang terkena tembakan pada bahu dan pinggul.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*