4 polis peras ugut ahli perniagaan RM45,000 ditahan

Polis sedang menyiasat kes seorang pegawai dan tiga anggota IPD Seri Alam, Johor atas dakwaan terbabit kes pemerasan bulan lalu.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata empat individu itu ditahan selepas laporan polis diterima 28 Ogos lalu dan mereka sudah diberikan jaminan polis.

“Kita sedang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. Keempat-empat suspek sudah ditangkap untuk siasatan lanjut.

Proses siasatan sedang berjalan dan kita sedang mengumpul bukti. Sekiranya dapat bukti yang diperlukan untuk bantu siasatan, kertas siasatan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut, katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Johor, Johor Bahru.

Selain siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, beliau turut mengarahkan siasatan dalaman disegerakan dan suspek ditempatkan di unit tidak aktif.

Kumar memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan tindakan tegas dari sudut perundangan akan diambil, jika ada bukti.

Mengenai suspek mendakwa pengadu terbabit isu penipuan (scammer), Kumar berkata: Itu saya ingat andaian saja yang tiada bukti.

Difahamkan, seorang peniaga membuat laporan polis 28 Ogos lalu mendakwa didatangi dua lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai polis selepas selesai makan bersama seorang rakan di restoran di Austin Height kira-kira 5 petang 27 Ogos lalu.

Pengadu mendakwa dua pegawai itu mengambil telefon bimbitnya dan rakan sebelum meminta mereka masuk ke sebuah kereta lalu dibawa ke IPD Seri Alam. Selepas diminta ke sebuah pejabat, dua pegawai polis lain mendakwa mereka terbabit sindiket scammer dan pemerdagangan manusia.

Pengadu dan rakannya mendakwa pegawai polis itu meminta RM150,000 jika mahu menyelesaikan kes, sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM45,000.

Mereka kemudian mendakwa dibawa ke bank untuk mengeluarkan baki RM15,000, sebelum dihantar ke lokasi pengadu meletakkan kenderaan dan dibebaskan selepas menyerahkan RM45,000.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*