20 penumpang cemas, brek tidak berfungsi, bas langgar penghadang jalan

Kira-kira 20 penumpang sebuah bas persiaran mengalami detik mencemaskan apabila kenderaan itu mengalami kegagalan brek sebelum terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 2.6 Jalan Genting Highlands, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu menyebabkan pemandu bas mengalami kecederaan ringan manakala kesemua penumpang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku ketika bas dipandu lelaki berusia 38 tahun dalam perjalanan menghala ke arah Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai bas yang dipandu tidak berfungsi lalu melanggar penghadang jalan di sebelah kanan. Pemandu bas cedera ringan manakala 20 penumpang tidak mengalami kecederaan,”katanya, di sini hari ini.

Menurut Zaiham kes disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 dan siasatan giat dilakukan.

“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta mematuhi had laju,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*