20 ahli Geng TR berdepan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan

Seramai 20 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak lima tahun lalu.

Kesemua tertuduh mengangguk faham atas pertuduhan berasingan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Geng TR terbabit mempunyai lima kumpulan terdiri daripada 08, 18, 21, 24 dan 36.

Mereka iaitu N. Nithiyan, 39, S. Logan, 32, P. Parthipan, 32, M. Keshava Nair, 30, A. Balamurugan, 40, V.S. Wilbert, 46, M. Ramakrishnan, 45, R. E. Mohan, 34, M. Thanasekaran, 44, dan Edward Liew, 49.

Turut didakwa, S. Manoraj, 28, M. Amaran, 30, S. Hemanathan, 31, K. Thana Seelan, 38, K. Ravishankar, 43, Muhammad Razi Abdullah, 51, G. Deeneskumar, 29, K. Venaigaraj, 32, A. Kogilan, 26, dan M. Tineshkumar, 26.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng TR di sebuah restoran di Sungai Janggut, Jeram, Kuala Selangor antara November 2019 hingga 2 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohon prosiding kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dicadangkan dalam tempoh sebulan.

Seramai 14 daripada tertuduh masing-masing antaranya diwakili peguam Ayasamy Velu; S. Vinesh, Revin Kumar dan Naizatul Zamrina Karizaman.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 26 Jun depan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*