1MDB : Najib, Arul dilepas dan dibebaskan

Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan , yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduh.

Sementara itu mahkamah membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau berikan adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap Laporan Pengauditan Akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan menutup kesnya pada 7 September tahun lalu, selepas memanggil 16 saksi bagi memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama 43 hari bermula pada 18 Februari 2019.

Ia kemudian menawarkan 18 saksi kepada pembelaan, antaranya bekas Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Antara saksi utama yang memberikan keterangan terhadap Najib sepanjang perbicaraan ialah Ali Hamsa; bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh di wakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N Sivananthan.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*