{VIDEO} Krisis Bekalan | Menteri ‘terjah’ pasar awam, kedai runcit

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan hari ini, berhubung isu kekurangan bekalan telur bersubsidi dalam pasaran.

Katanya, beliau turut mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa kementeriannya untuk menyelesaikan masalah membabitkan minyak masak selepas hasil lawatan mengejutnya ke Presint 8 di sini pada pagi semalam mendapati berlaku kekurangan telur bersubsidi gred A, B dan C serta minyak masak bersubsidi polibeg satu kilogram (1kg).

Salahuddin berkata, beliau sengaja tidak memaklumkan lawatannya itu kepada pengurusan dan Bahagian Penguat Kuasa kementeriannya kerana tidak mahu ia menjadi seperti acara keraian, sebaliknya menteri berkenaan hanya ditemani pemandu serta pegawai pengiring.

“Pagi semalam, dalam perjalanan ke pejabat di Putrajaya, saya tergerak hati nak singgah di kedai runcit dan pasar awam di Putrajaya.

“Saya hanya ditemani pemandu dan pegawai pengiring saya yang bertindak sebagai jurukamera serta juruvideo yang sangat amatur. Saya mohon maaf jika kualiti video dan suntingannya tidak memuaskan.

“Dapatan saya jelas menunjukkan terdapat kekurangan bekalan telur bersubsidi gred A, B dan C serta minyak masak bersubsidi polibeg 1kg dalam pasaran runcit.

“Saya akan bertindak,” katanya dalam satu hantaran yang dikongsikan kepada media, petang semalam.

Menerusi rakaman video yang dikongsikan, Salahuddin dilihat membuat tinjauan di kedai runcit serta mendapati ia kehabisan bekalan minyak masak polibeg 1kg, manakala di Pasar Awam Putrajaya pula beliau turut bertemu peniaga telur dan ayam untuk mendengar keluhan masalah mereka.

Kelmarin, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengumumkan kementeriannya akan mengimport bekalan telur dari beberapa negara sumber yang sudah dikenal pasti, dengan segera dalam usaha menampung keperluan pasaran tempatan pada harga lebih rendah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*