SPRM siasat RM92.5 bilion dibelanja kerajaan PN urus Covid-19

Fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna dana pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19 akan tertumpu kepada RM92.5 bilion, iaitu jumlah dibelanjakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

SPRM berkata, hanya RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan daripada peruntukan dianggarkan berjumlah RM530 bilion yang dibelanjakan pada 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

“Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.

“Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM minggu depan.

Semalam, SPRM mengesahkan satu kertas siasatan berhubung dakwaan berkaitan penyelewengan itu telah dibuka.

Isnin lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana berkenaan yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Terdahulu, media melaporkan beberapa pihak antaranya Muhyiddin Yassin, bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas menteri kewangan yang kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan dipanggil memberi keterangan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, semalam Tengku Zafrul berkata beliau belum dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*