‘Sakau’ RM3,300, pembantu penguat kuasa JPJ berdepan 5 pertuduhan

Seorang pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,300 daripada pengarah sebuah syarikat, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Saibullah Zaid Abdul Halim, 46, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Saibullah yang bertugas di JPJ Pulau Pinang didakwa menerima wang itu daripada pengarah berusia 44 tahun untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori milik syarikat tersebut.

Tertuduh menerima wang itu melalui akaun bank isterinya dan kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Kangsar pada Oktober 2017 hingga Mac 2018.

Pertuduhan ke atas bapa kepada tiga anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman mencadangkan jaminan RM8,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Peguam Mohamed Firdaus M. Farouk bagaimanapun memohon satu jumlah jaminan yang minimum kerana anak guamnya menanggung tiga anak berusia 15 hingga 21 tahun, manakala isteri pula tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kelima-lima pertuduhan berserta syarat tambahan yang dicadangkan. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Ogos depan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*