Ngeri! Warga emas maut digilis treler selepas terjatuh dari motosikal

Seorang lelaki warga emas maut digilis treler selepas terjatuh dari motosikal yang dia tunggang di Jalan Gangsa, Mergong di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada pukul 10.04 pagi tadi.

“Sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Ahmad Nozlan Zakaria bersama 10 anggota tiba di lokasi untuk melakukan operasi penyelamatan.

“Setibanya di lokasi didapati terdapat kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dengan sebuah treler,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa lelaki berusia 73 tahun dipercayai digilis di bahagian kepala serta badan dan tersepit di bawah lori di bahagian tayar hadapan.

“Bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah treler itu menggunakan peralatan khas.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi tidak lama kemudian. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Mayat warga emas itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk proses bedah siasat.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*