Individu terlibat penyelewengan dana RM92.5b tidak dilindungi

Individu terlibat penyelewengan dana RM92.5b tidak dilindungi. Tiada mana-mana pihak akan dilindungi sekiranya didapati melakukan kesalahan berhubung dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sekali lagi memberi jaminan akan melakukan siasatan secara telus dan tidak melindungi mana-mana pihak sekiranya melakukan kesalahan melanggar undang-undang.

Kata beliau, buat masa ini, SPRM tidak berhasrat mendedahkan pihak mana yang akan dipanggil untuk siasatan lanjut memandangkan dokumen-dokumen diperoleh daripada Kementerian Kewangan di peringkat penelitian.

“Saya rasa, elok semua pihak bersabar dan biarkan pegawai saya menjalankan siasatan,” katanya di sini semalam.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, dokumen yang diteliti SPRM melibatkan penyata-penyata perbelanjaan kerajaan dan dokumen peruntukan membabitkan dana dianggarkan berjumlah RM92.5 billion iaitu sebahagian daripada jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM530 billion bagi pengurusan Covid-19.

SPRM dalam satu kenyataan kelmarin memaklumkan, tumpuan siasatan SPRM berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 billion tanpa tender ketika era pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) terarah kepada dana sebanyak RM92.5 billion berkenaan.

Jelas kenyataan itu, siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dalam tempoh berkenaan dianggarkan berjumlah RM530 billion.

Namun, berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 billion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 billion bukan daripada kerajaan.

Justeru, fokus siasatan SPRM terarah kepada dana sebanyak RM92.5 billion berkenaan dan Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut serta dijangka menyerahkannya kepada SPRM minggu depan.

Sementara itu, SPRM sebelum ini turut menegaskan siasatan berkaitan penyelewengan wang perbelanjaan negara itu akan dilakukan secara terperinci, telus dan profesional dari semua sudut.

SPRM berkata, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan penyelewengan berkenaan boleh tampil diserahkan kepada agensi ini.

Isnin lalu, Azam mengesahkan kepada Utusan Malaysia, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 billion tanpa tender ketika era pentadbiran kerajaan PN.

Siasatan itu dilakukan berdasarkan aduan dibangkitkan oleh orang awam kepada SPRM seterusnya mendapatkan maklumat dan keterangan daripada Kementerian Kewangan untuk diteliti.

Beberapa dokumen diambil daripada kementerian berkenaan bagi melihat sekiranya terdapat kesalahan-kesalahan yang berada di bawah Akta SPRM 2009.

Dokumen yang diperoleh juga akan diteliti untuk SPRM lihat sama ada berlaku pelanggaran tadbir urus, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sekiranya ada.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya mendedahkan, Kementerian Kewangan telah memaklumkan tentang beberapa pelanggaran melibatkan perbelanjaan yang tinggi ketika pentadbiran kerajaan PN.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyerahkan kepada badan siasatan untuk melihat sejauh mana pelanggaran, rasuah atau penyelewengan berlaku.

Malah beliau turut mengarahkan perkara itu untuk disemak semula sebab ia tidak dibuat secara telus, tiada proses tender yang lengkap.

Perdana Menteri dan juga Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan pentadbiran Kerajaan Perpaduan tidak berkompromi dalam isu tatakelola dan antirasuah serta menempelak pemimpin tertentu yang lantang menggunakan istilah kleptokrasi walhal ahli keluarga mereka turut disyaki terlibat dalam urus niaga yang besar.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*