Kes tembak di KLIA : Hafizul mengaku tak salah cubaan bunuh

Pengurus syarikat pelancongan yang terbabit dalam kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua tuduhan termasuk cubaan membunuh.

Hafizul Hawari, 38, memohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrol Abdullah.

Dia dituduh cuba membunuh Farah Isa, 37, di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 kira-kira 1.09 pagi, 14 April lalu.

Hafizul dituduh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Hafizul dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nur Hadith Zaini, 37, menggunakan senjata bahaya yang boleh menyebabkan kematian iaitu pistol di lokasi dan waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Peguam Naim Mahmud yang mewakili Hafizul memohon mahkamah mempertimbangkan ikat jamin dengan alasan tertuduh masih sayangkan isterinya dan kemungkinan tidak mendatangkan bahaya kepada wanita itu atau keluarganya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron membantah dan berkata Hafizul adalah tertuduh berisiko tinggi serta siasatan polis mendapati tertuduh mahu melarikan diri dengan keluar negara.

Hakim kemudiannya menolak permohonan ikat jamin itu dengan alasan kesalahan yang didakwa dilakukan adalah serius.

Beliau kemudiannya menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, Hafizul mengaku tak bersalah dan mohon dibicarakan atas tujuh tuduhan termasuk memiliki senjata api di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan.

Dia didakwa memiliki 33 butir peluru, mercun bola dan tiga kad pengenalan milik tiga individu lain, dan juga menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu. Hafizul mengaku tak bersalah.

Dalam kejadian pada awal pagi 14 April lalu itu, Hafizul pada mulanya melempar mercun sehingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3m hingga 4m.

Tembakan itu tersasar tetapi satu tembakan terkena pengawal peribadi mangsa hingga menyebabkan kecederaan parah dan terpaksa dirawat di hospital.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*