PM Anwar : 20,041 kes hilang wang dari bank tahun lalu

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, rekod laporan polis menunjukkan 20,041 kes kehilangan wang dari bank sepanjang tahun lalu.

Menteri kewangan itu berkata, kes paling banyak direkodkan ialah 9,258 kes penipuan belian dalam talian.

“Turut dilaporkan berkaitan ‘Macau Scam’ sebanyak 3,370 kes, penipuan pelaburan (3,266 kes), penipuan pinjaman tidak wujud (3,174 kes), ‘African scam/Love scam’ (792 kes), penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebanyak 139 kes dan ‘Business Email Compromise’ (42 kes).

“Isu jenayah siber atau penipuan dalam talian ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di peringkat global,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) berhubung usaha kementerian menangani kelemahan sekuriti bank yang semakin membimbangkan rakyat.

Katanya, kerajaan memandang serius kes kehilangan wang dari institusi perbankan, dengan langkah berterusan diambil bersama agensi dan badan berkaitan untuk menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, langkah diambil merangkumi tiga aspek teras, iaitu pencegahan, penguatkuasaan dan pendidikan serta kesedaran.

Bagi industri kewangan, katanya, Bank Negara (BNM) menetapkan keperluan untuk bank memastikan kawalan dan standard keselamatan mereka sentiasa di tahap tertinggi, terutamanya perkhidmatan perbankan internet dan mudah alih.

“Kebanyakan kejadian kehilangan wang dalam akaun bank berpunca daripada kebolehan dan keupayaan penjenayah memperdaya pemilik akaun untuk menyerahkan maklumat peribadi, termasuklah kata laluan kepada penjenayah.

“Ia berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui muat turun perisian hasad atau ‘malware; oleh pemilik akaun sendiri.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*