Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu dengan syarikat kewangan termasuk bank tempatan, untuk mencari peluang penawaran inisiatif perbankan bersifat rahmah kepada rakyat yang terkesan dengan cabaran ekonomi hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata untuk tujuan itu, beliau sudah bertemu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang memberi pandangan bagaimana usaha itu boleh direalisasi.
Katanya, antara inisiatif rahmah yang boleh diusahakan dengan pihak bank adalah pinjaman khas kepada golongan B40 dan golongan yang memerlukan.
“Selepas kejayaan Menu Rahmah, saya minta untuk mengadakan perbincangan dengan pihak bank minggu hadapan untuk mendapat kemungkinan kerjasama dengan mereka seperti pertemuan dengan MBSB Bank hari ini, yang sudah merencanakan satu pinjaman istimewa untuk golongan B40.
“Idea itu sudah ada dan apabila ia direalisasikan nanti, kita akan mengadakan satu sesi libat urus bersama, bukan hanya dengan pihak bank tetapi syarikat insurans untuk memberi pertolongan kepada golongan wanita dan belia,” katanya selepas melancarkan kempen ‘Klasiknya Raya’ oleh peruncit dan pemborong terbesar negara, Mydin, di sini hari ini.
Yang turut hadir adalah Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib.
Salahuddin berkata, Tengku Zafrul bersetuju untuk membawa KPDN bertemu wakil bank terkemuka untuk membincangkan inisiatif itu dengan lebih lanjut.
“Beliau sangat positif dengan usaha yang dicadangkan ini, malah bersetuju untuk membantu, seperti mana sebelum ini, beliau sendiri memperkenalkan inisiatif Menu Rahmah menerusi platform TikTok yang menarik sehingga lima juta orang untuk melihatnya,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini juga KPDN juga sudah bertemu dengan syarikat insurans kenderaan untuk mewujudkan satu insurans ala-Rahmah yang bertujuan untuk membantu pengguna jalan yang terkesan dengan kenaikan kos membaiki kereta.
“Ada banyak pemilik kereta terpakai yang kenderaan mereka mengalami kerosakan dan mungkin berdepan kerosakan serius seperti kotak gear namun tidak mampu membaikinya.
“Jadi melalui insurans yang sedang diperhalusi ini, kita akan menawarkan kepada rakyat satu skim perlindungan khas yang akan membantu kehidupan seharian mereka. Kita akan mengadakan sesi libat urus lanjut, tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, barangan mentah sewaktu rakyat menyambut Ramadan juga mencukupi dan KPDN sedang mengatur pelbagai langkah untuk mengawal kenaikan harga barangan.
“Saya bertemu dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan mendapat maklumat bahawa bekalan barangan mentah pada bulan puasa ini mencukupi dan kementerian sendiri sentiasa meneliti perkara itu. Setakat ini ia baik-baik sahaja.
“Selain itu, KPDN juga mengumumkan skim harga maksimum musim perayaan minggu hadapan, bertujuan untuk mengawal kenaikan harga. Kita akan umumkan berapa jumlah barangan yang akan dikawal,” katanya.
Leave a Reply