Polis siasat penganjur himpunan solidariti Muhyiddin di hadapan ibu pejabat SPRM

Polis akan memanggil beberapa individu untuk disoal siasat berkaitan perhimpunan solidariti bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata mereka telah membuka siasatan berhubung perkara itu sejurus selepas menerima laporan mengenai perhimpunan itu, yang diadakan di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Katanya, polis telah mengenal pasti individu atau penganjur perhimpunan itu.

“Siasatan berhubung penganjuran perhimpunan solidariti di hadapan bangunan SPRM di Putrajaya sedang dijalankan.

“Ya pastinya akan ada pihak atau individu yang akan dipanggil bagi membantu siasatan,” kata Azmi, seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Muhyiddin dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada pagi Khamis untuk disoal siasat dan dibebaskan sembilan jam kemudian.

Dia kemudian didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Pemimpin PN menyifatkan pendakwaan Muhyiddin sebagai “penganiayaan politik”.

PN juga dijangka mengadakan beberapa siri acara solidariti untuk Muhyiddin, termasuk “solat hajat” di Taman Melewar di Gombak.

PN juga dijadual mengadakan ceramah umum malam ini di Taman Melewar.

Turut baca :

  • ‘Persetan tohmahan’, Anwar tegas perangi rasuah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*