PKR : Hanya penyamun masuk rumah orang ketika atap bocor

Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang meramalkan keruntuhan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim dikritik pemimpin PKR.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin (gambar, judul) berkata dia yakin jika berlaku ‘kebocoran atap’ maka “kerajaan Madani hari ini mampu memulihkannya.”

“Untuk pengetahuan Hadi Awang, hanya perompak dan penyamun yang masuk ke rumah orang ketika ‘atap bocor’.

“Adakah Hadi Awang sedang merancang ‘rompakan kerajaan’,” soalnya pada satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, setiausaha politik kepada menteri kewangan Kamil Munim berkata Abdul Hadi wajar fokus hadir sidang parlimen berbanding cubaan “mahu sabotaj dan beri ramalan karut untuk menggusarkan masyarakat awam.”

“Tatkala YAB perdana menteri dan pimpinan kerajaan perpaduan hari ini berusaha membangunkan semula negara, presiden PAS pula ligat melopor kegiatan menjatuhkan kerajaan.

“Mungkin presiden PAS perlu memberi fokus kehadiran di parlimen terlebih dahulu dari terus membuat ramalan merepek yang tidak membawa sebarang manfaat kepada negara.

“Saya juga suka untuk meramalkan sekiranya PAS masih memerintah di negeri Kelantan, air bersih untuk rakyat akan kekal berkeladak,” kata Kamil pada satu kenyataan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan dalam lima sesi Dewan Rakyat dari Julai 2021 hingga Mac 2022, Hadi hanya menghadiri 21 daripada 71 hari bersidang.

Di sebalik isu politik mengenai kehadirannya, Hadi menolak kritikan, dengan menyatakan bahawa Dewan Rakyat “tidak seperti sekolah” di mana seseorang perlu menghadiri setiap hari untuk keseluruhan sesi.

Sementara itu, Kamil yang juga timbalan ketua Pemuda PKR berkata, Hadi masih belum berganjak daripada kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional sebelum ini yang diterajui Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, Muhyiddin gagal menguruskan negara semasa krisis kesihatan dan ekonomi serta mengisytiharkan darurat untuk menutup prinsip demokrasi.

Dakwa Kamil lagi, Muhyiddin juga telah menutup parlimen, kerana bimbang undi tidak percaya serta meluluskan perbelanjaan negara tanpa membahaskannya terlebih dahulu di Dewan Rakyat.

Dia berkata ini perbezaan yang ketara berbanding Anwar, yang menguji sokongannya di parlimen selepas memegang jawatan perdana menteri.

Tambahnya, dalam tempoh yang singkat, Anwar melaksanakan pembaharuan dalam percukaian dan berjanji untuk menghapuskan kemiskinan tegar rakyat Malaysia tahun ini.

“Ini merupakan satu komitmen berani yang belum pernah diajukan oleh mana-mana perdana menteri dalam sejarah Malaysia.

“Segala inisiatif baik yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 tentunya akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan yang akan memberi manfaat kepada jutaan rakyat Malaysia,” kata Kamil..

Kelmarin, Hadi tidak menyatakan sama ada kejatuhan kerajaan sekarang akan berpunca dari dalam atau luar: “Ini ramalan. Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat.”

Ini selepas ahli parlimen Marang memberitahu Dewan Rakyat bahawa pembangkang tidak boleh dipersalahkan kalau kerajaan persekutuan tumbang.

“Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah,” katanya merujuk pentadbiran PH yang ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada 2020.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*