Kira-kira 30 pemilik kenderaan terkejut dengan tindakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 kerana meletakkan kenderaan di padang Dewan Eng Ann, Taman Eng Ann, Klang.
Harian Metro melaporkan pemilik meletakkan kenderaan mereka untuk menyaksikan pertandingan taekwondo peringkat daerah di dewan berkenaan.
Seorang pemilik kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Nantharajan, 43, terkejut melihat kadar kompaun itu.
Katanya, kebanyakan mereka yang hadir adalah ibu bapa dari pelbagai sekolah di seluruh Klang dan kawasan itu adalah taman perumahan yang tiada papan tanda larangan memarkir kenderaan.
“Saya pelik kerana program yang dihadiri hari ini adalah hari cuti, iaitu Ahad. Jumlah kompaun itu sangat tidak masuk akal.
“Ini amat tidak adil kepada kami,” katanya.
Seorang lagi pemilik kenderaan yang dikenali sebagai Hafiz, 37, kecewa dengan sikap tidak bertimbang rasa MPK memandangkan padang itu hak milik awam dan terdapat akses jalan untuk parkir di kawasan pinggir padang.
“Sepatutnya penguat kuasa boleh memberi amaran dengan membuat pengumuman terlebih dahulu kerana kami hanya berada di dalam dewan,” katanya sambil memohon Yang Dipertua MPK mengambil tindakan sewajarnya susulan kadar kompaun tinggi yang disifatkannya tidak adil.
“Kami mohon MPK lebih bertimbang rasa. Jumlah RM1,000 bukanlah jumlah sedikit, bayangkan jika hampir semua kenderaan yang diparkir dikenakan kompaun.”
MPK ketika diminta mengulas berkata, ia akan berhubung dengan jabatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
Leave a Reply