Zahid : Bukan benci individu tapi selamatkan kapal ‘ditebuk’ dari dalam

Zahid : Bukan benci individu tapi selamatkan kapal dari ‘ditebuk’ dari dalam. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak ada pilihan selain mengambil tindakan dalam kepimpinan bagi menyelamatkan parti daripada menjadi gunting dalam lipatan atau duri dalam daging.

Beliau berkata, pihaknya boleh meraikan perbezaan pendapat namun tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyentuh soal integriti parti.

“Serangan bukan hanya datang dari luar, kita kenal musuh di luar dan juga musuh di dalam… baling batu sembunyi tangan, itu sangat banyak tapi saya harus bersangka baik.

“Sebagai seseorang diberikan amanah memimpin parti, adakah saya mahu membiarkan keadaan itu berlaku? katanya.

Tanpa merujuk mana-mana pihak, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, sebarang keputusan dibuat dalam memimpin Umno bukanlah kerana beliau membenci individu tertentu namun atas dasar menyelamatkan parti.

“Parti perlu diselamatkan, parti tidak boleh ada gunting dalam lipatan atau duri dalam daging…bagaimana jika sampah masuk ke mata? Kita buka mata pun sakit, tutup mata pun sakit, kita harus buang sampah itu untuk jaga mata supaya penglihatan kita jelas.

“Itu dipanggil ‘political clarity’, ia harus dilakukan…namun saya tidak menuduh atau memaksudkan sesiapa, saya meraikan perbezaan pendapat, silakan bercakap tetapi apabila integriti parti disentuh, saya tidak boleh berkompromi,” katanya.

Beliau yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah kini berdepan pelbagai kritikan susulan tindakan pembersihan Umno di bawah kepemimpinannya yang menyaksikan pemecatan bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Jumaat lalu turut memutuskan beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong, yang juga bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan, Shahril Sufian Hamdan digantung keahlian selama enam tahun.

Dalam pada itu, Zahid mengakui beliau tidak boleh mengambil pendekatan syok sendiri dengan menganggap semua pihak akan menyokongnya.

“Jangan jadi pemimpin syok sendiri, kata semua orang sokong kita…kritikan dari luar dan dalam pasti terima dan ditangani secara sebaik mungkin,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*