“Tak jatuh haram pun…” Gara-gara salam tak tengok muka, lelaki ‘terlajak alim’ tampar kepala jemaah masjid.
Seorang jemaah masjid bertindak menampar belakang kepala seorang anggota tentera laut hanya kerana tidak memandang muka ketika bersalaman dalam kejadian di sebuah masjid di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.
Ketua Polis Manjung Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian yang dibuat mangsa berusia 30-an.
Menurut mangsa, kejadian berlaku selepas selesai solat Asar di Masjid An-Nur pada kira-kira 5.10 petang.
Terdahulu, satu video berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki menampar belakang kepala seorang jemaah selepas selesai solat tular di media sosial sejak semalam.
“Selepas selesai solat, mangsa bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali sebelum suspek tiba-tiba menampar belakang kepala mangsa dengan kuat hingga terkena telinga kanannya.
“Susulan itu mangsa mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan telinga,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah kerana mangsa didakwa tidak memandang muka suspek ketika bersalaman.
“Ini menyebabkan suspek yang juga pesara TLDM berusia 46 tahun berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya,” katanya.
Nor Omar berkata, kedua-dua pihak sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.
“Mangsa dalam kes ini kemudiannya tidak mahu meneruskan siasatan dan sudah menarik semula laporan polis yang dibuat. Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Susulan itu, polis menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan kerana kes sudah selesai,” katanya.
Turut baca’
Leave a Reply