Separuh akhir bola sepak SUKMA kecoh, pengadil dikejar di dalam padang. Pulau Pinang berada pada landasan tepat untuk mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) apabila mara ke final menerusi kemenangan 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan.
Namun, aksi separuh akhir di Stadium UiTM itu dicemari dengan kekecohan di penghujung permainan sehingga menyaksikan seorang individu dipercayai barisan kejurulatihan Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah kerana menghambat pengadil, Muhamad Shamil Mohd Jaafar.
Skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu akan berdepan Terengganu pada aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Jumaat ini.
Pulau Pinang beroleh peluang seawal minit keempat, namun percubaan Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri yang berada di hadapan gawang gol tepat ke dakapan penjaga gol Wilayah Persekutuan, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin.
Pulau Pinang juga tampak lebih banyak mengancam gawang Wilayah Persekutuan menerusi beberapa percubaan sehinggalah gol yang dinanti mereka tiba pada minit ke-37 menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Wilayah Persekutuan.
Meskipun berdepan Azim yang beraksi cemerlang pada sepakan penalti penentuan di peringkat suku akhir sebelum ini, namun Danial berjaya menyempurnakan sepakan penalti terbabit untuk gol tunggal perlawanan.
Bersambung babak kedua, gawang Pulau Pinang masih bertahan sekalipun beberapa kali diasak Wilayah Persekutuan yang memperaga aksi lebih bertenaga selepas rehat.
Azim Al Amin memastikan Wilayah Persekutuan tidak terus ketinggalan apabila tangkas menyelamatkan percubaan Danial pada minit ke-67 sekali gus menafikan Pulau Pinang daripada beroleh gol kedua.
Bagaimanapun, misi Wilayah Persekutuan membvru gol penyamaan kian sukar apabila Muhammad Iman Fakhrullah dilayangkan kad merah pada minit ke-88 kerana mengasari pemain Pulau Pinang.
Susulan insiden kad merah itu, seorang pegawai pasukan Wilayah Persekutuan masuk ke padang dan mengejar pengadil seolah-olah mahu menumbuk kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.
Pengadil dilihat terpaksa berlari menyelamatkan diri daripada tengah padang ke tempat duduk simpanan pasukan Pulau Pinang.
Pasukan keselamatan terpaksa campur tangan bagi menenangkan keadaan itu yang memaksa perlawanan terhenti kira-kira lima minit sebelum disambung semula.
Leave a Reply