{VIDEO} Salahuddin : ‘Saya tak nak jadi menteri munafik’

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan ada barangan tertentu yang tidak dapat diturunkan harganya selepas mengalami kenaikan, manakala harga sesetengah barangan lain pula naik turun mengikut bekalan.

Katanya, barangan tertentu seperti ikan dan sayur yang bekalannya bergantung mengikut tempoh tertentu akibat pengaruh luar seperti cuaca dan bencana, menyebabkan harganya naik seketika sebelum turun semula seperti biasa.

Dalam keadaan itu, beliau berkata, adalah tidak adil jika Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengerahkan penguatkuasanya ke lapangan dan memaksa harga diturunkan, sedangkan bekalan barangan berkenaan adalah terhad.

Disebabkan itu, katanya, KPDN mencari alternatif lain, khususnya dengan memperkenalkan inisiatif Jualan Rahmah yang menjual 20 barangan asas pada harga lebih murah, supaya penjimatan yang dinikmati pengguna boleh menampung kenaikan harga barangan lain.

“Ada barang yang dah naik (harga), tak boleh turun. Saya tak nak jadi menteri munafik, yang boleh janji dengan rakyat harga ini akan turun. Ada barang yang dah naik, tidak mungkin turun, tapi ada yang jika bekalan itu cukup, harga yang naik boleh turun.

“Pada Disember, kita tengok harga sayuran. Contohnya cili merah, di pasaran waktu itu harga naik hampir RM30 sekilogram kerana tengkujuh, tapi masuk Februari dah turun sampai RM12 sekilogram.

“Ada barang yang kita rasa tak boleh turun, kita panggil penguat kuasa pergi periksa, paksa dia turun, (tindakan itu) idak boleh kerana kita pasaran bebas. Kita hentak kepala kita pada dinding sampai berdarah pun, harga tak boleh turun.

“Jadi KPDN ambil pendekatan dengan Jualan Rahmah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Salahuddin mengambil contoh kenaikan harga ayam yang pada suatu ketika dijual RM7.90 sekilogram, kemudian naik hingga lebih RM10, menyebabkan kerajaan pada ketika itu meletakkan harga siling pada kadar RM9.40.

Katanya, kenaikan RM1.50 daripada RM7.50 kepada harga siling itu dan inisiatif Jualan Rahmah mampu memastikan pengguna memiliki lebihan wang untuk menampung kenaikan harga itu dan barangan lain.

“Ada lebih kurang 20 barangan asas yang boleh dibeli di pasar raya tertentu, dengan penjimatan antara RM20 hingga RM24 sekali berbelanja. Bila jimat membeli barangan asas itu, maka pengguna boleh menampung kenaikan harga RM1 pada ayam, contohnya.

“Itu cara kita cuba atasi perkara ini, di samping terus memantau rantaian bekalan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*