{VIDEO} Salahuddin : KPDN, MOT, KKR bincang pelaksanaan sistem pembayaran terbuka

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat bagi menentukan kaedah untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka, termasuk untuk kemudahan pengangkutan awam.

Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata mesyuarat itu susulan cadangan dikemukakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi memberi rakyat lebih banyak pilihan, selain menggunakan sistem pembayaran sedia ada seperti Touch n Go (TnG).

“Ketika di Parlimen, saya berbincang dengan Menteri Pengangkutan kerana beliau mengemukakan idea untuk ada sistem lain selain TnG untuk rakyat mudah bayar parking, di lebuh raya dan seumpamanya.

“Jadi, hasil perbincangan itu, kami akan ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.

Beliau memberitahu media demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Jualan Rahmah Syabab Dates, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Sebelum ini, Loke berkata, Kementerian Pengangkutan sudah mengarahkan semua agensi, termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementerian untuk mengaplikasikan satu sistem pembayaran terbuka.

Beliau berkata, tempoh beberapa bulan diperlukan untuk mengintegrasikan sistem pembayaran terbuka itu.

“Umpamanya kalau guna LRT, sekarang ini hanya dua pilihan iaitu pergi ke mesin layan diri dan beli token atau guna Touch n Go (TnG).

“Jadi, kita nak aplikasikan satu sistem pembayaran terbuka yang mana selain TnG, apa juga jenis kad, sama ada kad kredit atau debit, boleh sentuh dan masuk.

“Sistem ini akan kita mulakan tidak lama lagi untuk pengangkutan awam khususnya di bawah Prasarana untuk bas, LRT, Transit Aliran Massa (MRT), begitu juga Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang sudah diarahkan untuk buat sistem sama,” katanya.

Langkah itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memberi bayangan monopoli TnG mungkin ditimbang semula kerana dilihat tiada kemajuan meyakinkan dalam sistem itu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pihaknya mengambil maklum aduan rakyat mengenai prestasi TnG, malah KPDN sudah mengadakan empat sesi libat urus dengan penyedia perkhidmatan berkenaan.

“Kita akan bincang dengan LLM juga supaya pengguna boleh guna sistem lain seperti kad kredit, kad debit, tak semestinya TnG kerana ada masalah besar sekarang, rakyat tidak dapat kad itu dengan mudah dan hanya ada dua sahaja pusat servis di seluruh negara.

“Kita di KPDN santuni, cermati semua aduan rakyat dan kami mula mengambil langkah proaktif sebagai pemudah cara.

“Kita mahu rakyat ada alternatif lain tanpa kita ‘terminate’ TnG atau Smart Tag…tidak. Kita hanya mahu menyelesaikan rungutan rakyat yang begitu banyak terhadap prestasi TnG,” katanya.

Salahuddin berkata, pada mesyuarat itu nanti, pihak berkaitan akan membincangkan mengenai konsep serta siapa pemain industri yang akan terbabit kerana rakyat mahu melihat kerajaan bertindak segera.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*