{VIDEO} Saifuddin : Pemimpin pembangkang ‘takut’ berdepan Anwar di Parlimen

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution membidas beberapa pemimpin pembangkang kerana tidak berani berdepan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab di Parlimen.

Saifuddin berkata, pada setiap Selasa ketika sidang Dewan Rakyat, Anwar akan hadir ke Parlimen untuk menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen.

Katanya, sesi selama 30 minit itu dikenali sebagai soal jawab perdana menteri (PMQ)

“Belum pernah dalam sejarah Parlimen perdana menteri mengadakan sesi dikenali sebagai PMQ ini. Ahli Parlimen boleh tanya apa sahaja, perdana menteri akan jawab.

“Bagaimanapun, tiada sekalipun ketua pembangkang (Hamzah Zainudin) berhadapan dengan perdana menteri. Tiada sekalipun Pagoh (Muhyiddin Yassin) atau Marang (Abdul Hadi Awang) berdepan dengan perdana menteri,” katanya ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional Khas PKR 2023 di Stadium Malawati.

Katanya, Parlimen adalah tempat semak dan imbang, tempat memantau dasar kerajaan serta tempat berdebat dan berhujah.

“Perdana menteri tercegat di kerusinya 30 minit tanya apa sahaja soalan, saya perhatikan dah berapa minggu ketua pembangkang tidak muncul, Pagoh entah kemana, Marang juga tidak kelihatan bayangnya,” katanya.

Saifuddin juga menuduh pemimpin tersebut hanya nampak hero di luar Dewan Rakyat dengan membela bangsa dan agama tetapi tidak sanggup berdepan dengan perdana menteri di Parlimen.

Sementara itu, Saifuddin juga berjanji untuk memindahkan kanak-kanak yang ditahan di depot tahanan Imigresen yang sesak di seluruh negara.

“Munasabahkah anak-anak ini diletakkan dalam depot tahanan, jawapannya tidak munasabah. Saya akan usahakan anak-anak ini, walau apa cara pun, mereka akan di tempat ke ke lokasi lain dan bukan dalam depot tahanan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*