{VIDEO} Perlawanan bola sepak di Jawa Timur berakhir dengan kematian

Perlawanan bola sepak di Jawa Timur berakhir dengan kematian. Sekurang-kurangnya 127 maut di sebuah stadium bola sepak di Indonesia, semalam, selepas penonton perlawanan menyerbu masuk ke kawasan padang dan mencetuskan rempuhan sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata, kata pegawai.

Para penyokong pasukan Arema FC di stadium Kanjuruhan, bandar Malang bertindak demikian selepas pasukan mereka kalah 3-2 kepada Persebaya Surabaya, kekalahan pertama dalam tempoh lebih dua dekad kepada seteru ketat mereka.

Polis yang menyifatkan insiden itu sebagai rusuhan, cuba memujuk penyokong agar kembali ke tempat duduk mereka sebelum melepaskan gas pemedih mata ke arah tempat duduk penonton selepas dua pegawai anggota terbunuh.

Kebanyakan mangsa lain mati akibat rempuhan.

“Dalam insiden ini, 127 orang meninggal dunia, dua daripadanya adalah pegawai polis. Seramai 34 orang mati di dalam stadium dan selebihnya meninggal dunia di hospital.

“Penyokong cuba keluar melalui satu pintu keluar, namun orang ramai bersesak di situ. Disebabkan itu, mereka sukar bernafas akibat kekurangan oksigen,” kata Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, pemerintah Indonesia memohon maaf atas insiden tersebut dan berjanji akan menyiasat keadaan kejadian ketika rempuhan.

“Kami memohon maaf atas insiden tersebut dan berasa kesal kerana kejadian ini menjejaskan sukan bola sepak negara ketika penyokong sudah boleh menonton perlawanan di stadium.

“Kami akan menilai penganjuran perlawanan dan kehadiran penyokong secara menyeluruh. Adakah kami akan melarang kembali penonton menyaksikan perlawanan (di stadium)? Ia sedang dibincangkan,” kata Menteri Sukan dan Belia, Zainudin Amali kepada laman berita Kompas.

 

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*