{VIDEO} Liga Super : Selangor ‘koyak’ dibaham JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadiahkan kekalahan sulung buat Tan Cheng Hoe dalam saingan Liga Super selepas meraih kemenangan 4-0 ke atas Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Sekalipun masih tidak dapat menggunakan khidmat ‘mesin gol’ Bergson Da Silva, JDT jelas masih memiliki calon ganti berkualiti yang menyaksikan Fernando Forestieri meledak dua gol manakala Diogo Luis Santo terus pamer ketajaman ketika muncul sebagai pencetus kepada kemenangan kali ini.

Terdahulu, kehangatan perlawanan tumpuan ini bermula dengan percikan bunga di bahagian belakang tempat duduk Ultras Selangor diikuti aksi penuh bertenaga dipamerkan 22 pemain atas padang.

Tempoh 10 minit awal menghadirkan situasi positif buat Red Giants selepas Faisal Halim beberapa kali berjaya melepasi kawalan Oscar Arribas di sebelah kanan namun usaha diatur gagal membuahkan hasil.

Bermula dengan situasi cemas dicipta Diogo pada minit ke-16, aksi selepas itu seakan menjadi milik JDT yang merekodkan beberapa peluang merbahaya sebaliknya sentuhan akhir terus menghadirkan kekecewaan buat penyokong pelawat.

Disebalik keghairahan Harimau Selatan mengatur serangan, Faisal yang beralih ke posisi sayap kiri terus menghadirkan situasi cemas buat pertahanan JDT sebaliknya ia masih gagal membuahkan sebarang hasil.

Ketika tuan rumah berjaya memulakan babak kedua dengan baik, JDT pula hanya memerlukan tempoh 10 minit untuk memecah kebuntuan menerusi Juan Muniz diikuti gol kedua daripada Diogo pada minit ke-66.

Seterusnya, tempo permainan seakan makin perlahan namun situasi ini langsung tidak merencatkan kemahuan JDT yang menambah dua lagi gol menerusi Forestieri, pada minit ke-77 dan 82.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*