{VIDEO} JPJ respon 3 anggota perang mulut dengan pemandu bas

BARU-BARU ini, tular di media sosial memaparkan seorang pemandu bas berperang mulut dengan tiga individu yang mendakwa diri mereka sebagai petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam video berdurasi seminit 47 saat itu, pengguna jalan raya itu mempersoalkan kredibiliti mereka kerana tidak memakai uniform, terutamanya vest.

Pertelingkahan itu menyaksikan lelaki tersebut enggan menyerahkan dokumen seperti mana diminta sehingga masing-masing bertikam lidah di bahu jalan.

Insiden berkenaan membuatkan rata-rata pengguna jalan raya mempersoalkan etika tugas seorang anggota JPJ yang tidak mengenakan uniform semasa menjalankan operasi.

Menjawab akan perkara itu, JPJ dalam satu kenyataan pada Jumaat menjelaskan ketiga-tiga individu berkenaan sememangnya merupakan anggota dilantik.

Jelas jabatan tersebut, ketiga-tiga anggota itu terlibat dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya semasa musim perayaan.

“Menerusi video yang viral tersebut, tiga orang anggota penguat kuasa JPJ tanpa uniform atau vest sedang melakukan pemeriksaan dan menahan sebuah bas penumpang ketika operasi khas menggunakan kaedah penyamaran pada Selasa, iaitu lebih kurang pukul 12.10 tengah hari di Lebuhraya PLUS menghala ke arah Utara Nilai,” katanya.

“JPJ ingin menjelaskan bahawa pegawai penguat kuasa JPJ dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

“Bagaimanapun, pegawai penguat kuasa perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya.

Tambah JPJ, kedua-dua pihak membuat laporan dan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*