{VIDEO} GISBH: Kanak-kanak diasingkan daripada ibu bapa seawal usia 2 tahun

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini mendedahkan bahawa kanak-kanak di rumah amal dikaitkan dengan ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) diasingkan daripada ibu bapa mereka sejak usia dua tahun.

Beliau berkata, hasil risikan mendapati keseluruhan kanak-kanak terbabit menjalani proses tumbesaran sepenuhnya dalam rumah amal dikaitkan dengan GISBH.

“Maklumat risikan mendapati kanak-kanak ini akan diasingkan daripada keluarga seawal usia dua tahun dan mereka akan diletakkan di rumah amal berkenaan.

“Ada juga maklumat yang ibu bapa berada di Arab Saudi dan Turkiye selama lima hingga enam tahun, tetapi anak mereka berada di sini (Malaysia). Namun, kita belum pasti sama ada ibu bapa terbabit dipaksa berbuat demikian atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, ini adalah antara penganiayaan, pengabaian dan pendedahan atas Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya pada sidang media hari ini.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana individu mungkin pernah menjadi mangsa eksploitasi sama atau bekas ahli GISBH untuk tampil membuat laporan atau membantu siasatan.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tujuan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit ke luar negara, sama ada bagi tujuan kerjaya atau sebaliknya.

Keseluruhan kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) terdiri daripada generasi ketiga dan keempat.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, meminta individu yang pernah mengalami eksploitasi sama sebelum ini, untuk tampil membantu siasatan.

Pada sidang media di Kuantan, Pahang Rabu lalu, Razarudin berkata, siasatan mendapati modus operandi dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat, seterusnya mangsa diliwat penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Razarudin berkata, seramai 392 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global di Negeri Sembilan dan Selangor kelmarin, sudah menjalani saringan kesihatan.

Saringan itu, katanya, dilakukan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia membabitkan 392 kanak-kanak, masing-masing 202 lelaki dan 190 perempuan, manakala 10 lagi orang kurang upaya (OKU) kini diletakkan di bawah seliaan JKM.

“Kita dalam proses pemindahan mangsa ke pusat perlindungan di Bukit Beruntung, Cheras dan Seremban mulai kelmarin. Awalnya ada 402 mangsa, tetapi selepas proses saringan kita dapati ada kanak-kanak autisme, OKU dan sakit.

Turut baca :

“Mereka (kanak-kanak OKU dan sakit) ini diletakkan di bawah jagaan JKM. Bagaimanapun, lapan lagi mangsa belum kenal pasti usia mereka dan masih menunggu KKM serta temu bual ke atas penjaga rumah amal terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 13 laporan diterima dan tujuh kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sejak 2 September lalu.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Kanun Keseksaan, selain akan dirujuk ke kementerian dan agensi lain bagi mengenal pasti kesalahan mengikut akta berkaitan.

“Kita juga perlu melihat (sama ada) kanak-kanak yang perlu bersekolah, tetapi tidak mendapat kemudahan sewajarnya kerana ini juga satu kesalahan di bawah Akta Pendidikan 1996.

“Selain itu, kita akan melihat sama ada fasiliti pendidikan di bawah GISBH ini didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan atau tidak. Jika pendidikan berunsur agama, (pihak berkuasa agama) negeri akan menentukan status permit, lesen atau kelulusan (operasi),” katanya.

Info usia mangsa

– 4 tahun ke bawah (57 orang)

– 5 hingga 12 tahun (198 orang)

– 13 hingga 17 tahun (115 orang)

– 18 tahun ke atas (14 orang)

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*