{VIDEO} “Apa benda ni weh…” Rakaman misteri matahari terbenam, objek melompat di laut jadi tanda tanya

MENIKMATI pemandangan matahari terbenam di tepi laut merupakan satu momen yang cukup mendamaikan.

Jadi tidak hairanlah apabila ada yang sanggup datang ke pantai sejak awal petang semata-mata tidak mahu melepaskan peluang melihat panorama indah siang melabuhkan tirai.

Sesiapa sahaja boleh terpukau menyaksikannya ibarat cinta pandang pertama, sekali gus menimbulkan rasa kagum dengan kebesaran dan keagungan Tuhan.

Dalam keterujaan untuk merakam fenomena alam yang mengasyikkan itu, seorang pemuda berdepan dengan momen tidak disangka-sangka.

Menerusi satu video yang dikongsi di laman sosial, rakaman yang dibuat dengan menggunakan lensa zoom secara dekat itu terakam pergerakan entiti misteri.

Makhluk itu kelihatan seperti berenang dan melompat jauh dari permukaan laut dan masuk semula ke dalam air dengan cepat seperti ikan lumba-lumba.

“Nak rakam matahari terbenam, tibat-tiba ternampak benda ni. Apa dia weh?” soalnya.

Ternyata rakaman yang berdurasi 55 saat itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan netizen apabila mengaitkannya dengan makhluk misteri.

Apatah lagi ketika rakaman yang dipercayai dibuat di perairan pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan itu dilakukan pada waktu senja.

Rata-rata netizen memaklumkan apa yang dilihat pemuda itu adalah ‘sulur bidar’, makhluk misteri yang sering dilihat di kawasan perairan seperti sungai dan tasik.

Difahamkan, ia juga dikenali sebagai ‘hantu bidai’ dalam kalangan kaki pancing dan mereka yang tinggal dekat kawasan perairan.

Hantu bidai ini dikatakan berkeliaran di kawasan berair dan menyerupai tikar yang akan menggulung dan melemaskan mangsa.

Ia dipercayai untuk menjauhi kanak-kanak daripada pergi berenang tanpa pengawasan orang dewasa, kerana ditakuti akan lemas sekiranya mengalami kesukaran seperti kekejangan.

Pada masa sama, segelintirnya menafikan tanggapan yang dikaitkan dengan makhluk halus, sebaliknya ia merupakan aktiviti menarik pukat yang dilakukan oleh masyarakat nelayan.

“Orang tarik pukat la. Saya ada masa ni, pakcik saya yang tarik. Yang bulat bola pelampung panjang-panjang sampai melekat.

“Betul la tu. Ada satu tali panjang ditarik dan lepas. Pelampung tu sangkut pukat yang carik. Tarik lepas, tarik lepas.

“Memang ada kapal, tengok masa dia zoom out, sebelah kiri tu ada kapal besar tu. Pukat bukan pendek, jauh tu kapal besar,” komen beberapa netizen.

Bagaimanapun, tidak dipastikan mengenai apakah objek yang bergerak di perairan dalam rakaman, menjadikan perdebatannya kekal misteri.

Dalam tempoh kurang 24 jam, video berkenaan meraih lebih 5 juta tontonan di TikTok.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hantu-hantu yang digambarkan oleh masyarakat seperti pontianak, langsuir dan pocong adalah penyerupaan yang dilakukan oleh jin dan syaitan untuk menakut-nakutkan manusia.

Menjawab persoalan mengenai adakah hantu-hantu yang digambarkan itu wujud, katanya, ia bukannya berasal dari roh orang mati sepertimana yang dipercayai oleh sebahagian masyarakat.

“Di samping itu, kita tidak dibenarkan untuk menokok tambah atau berlebihan dalam perkara yang melibatkan alam ghaib.

“Berhentilah mempercayai khurafat atau tahyul yang sering berlegar dalam masyarakat. Semoga Allah memelihara akidah kita daripada dicemari syirik dan khurafat,” kata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*