MELIHAT keadaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan, pasti ramai yang tidak percaya mengenai keadaan pemandunya.
Dengan wajah yang penuh kesan lebam, seorang wanita tampil menunjukkan keadaan kenderaannya yang kelihatan remuk teruk di bahagian depan dalam keadaan sangat tenang sambil tersenyum.
“Hai, saya kemalangan. Tapi kereta tak teruk pun,” katanya ringkas menerusi video yang hingga kini meraih lebih 1.7 juta tontonan di TikTok.
Nor Farain Abd Razak berkata, kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Tasek di Ipoh, Perak, kira-kira pukul 9 malam, 16 April lalu.
Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, ketika itu dia bersama seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki masing-masing berusia tiga dan lima tahun.
“Keadaan berlaku begitu pantas dan secara tiba-tiba, saya tak sedar. Menurut saksi kejadian, tayar depan kiri meletup.
“Kereta yang dipandu terbabas ke kanan, langgar tiang dan pokok, sebelum ia terbalik dan masuk laluan bertentangan,” katanya.
Mesra disapa Ain, dia memberitahu anak perempuannya tercampak keluar dari kereta, manakala anak lelakinya tercampak terkena skrin kereta.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah. Saya dan anak-anak masih sihat dan tiada kecederaan yang teruk. Kalau tengok keadaan kereta, saya seolah-olah tak percaya saya masih hidup. Allah bagi nyawa kedua.
Allah sebaik-baik pelindung. Anak perempuan saya, Adrianna tercampak keluar selepas kereta terbalik. Saya boleh andaikan, malaikat ‘sambut’ anak saya tu ketika dia tercampak.
“Dia tak ada apa-apa luka dan sakit. Cuma lebam je, ada kesan luka bergaris. Dia tak trauma. Anak lelaki, Mateen sahaja yang ada sebut ‘kereta pusing-pusing, adik jatuh’. Syukur, anak saya masih kuat,” ujar anak kelahiran Perak itu.
Akibat kejadian itu, ibu kepada dua cahaya mata itu mengalami kecederaan teruk di bahagian muka serta lebam di bahagian tangan dan kaki.
Menerima sembilan jahitan di dalam mulut, Ain bagaimanapun tidak dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan lanjut.
“Syukur saya dan anak-anak selamat. Tapi saya masih terkejut melihat keadaan saya dengan keadaan kereta yang dah tak macam kereta.
“Video yang tunjuk keadaan kerosakan kereta tu sehari selepas kemalangan. Saya tenang sebab kaki dan tangan saya masih ada, anak-anak saya masih boleh bermain dan berlari. Itu yang membuatkan saya tenang dan positif,” katanya yang mengusahakan bisnes sendiri.
Menurut Ain lagi, dia juga turut bersyukur kerana nahas yang berlaku tidak membabitkan pengguna jalan raya lain.
“Kalau tengok pacuan empat roda tu, semua orang cakap pemandunya ‘dah tak ada’. Tapi mereka terkejut saya boleh berjalan keluar dari kereta.
“Saya kemalangan tak langgar sesiapa. Alhamdulillah, nyawa orang lain selamat. Risau juga kalau saya terlanggar orang sewaktu kereta berpusing.
“Saya dan suami berterima kasih kepada rider penghantar makanan yang ada di lokasi kejadian. Dia yang dukung anak saya Adrianna selepas terpelanting, dia juga telefon suami saya. Besar jasa abang rider pada saya sekeluarga. Terima kasih abang rider,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply