Usaha nobatkan Anwar ‘PM paling singkat’ gagal.
Sejak pilihan raya umum 2018, Malaysia telah menyaksikan empat perdana menteri mengangkat sumpah dengan Anwar Ibrahim menjadi yang terbaru apabila membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum lalu.
Dr Mahathir Mohamad bertukar daripada perdana menteri paling lama 22 tahun kepada paling singkat pada 2020 apabila tempoh perkhidmatan keduanya berakhir hanya selepas 22 bulan.
Bagaimanapun, penggantinya Muhyiddin Yassin terus memecah rekod dengan berundur selepas 17 bulan menerajui kerajaan manakala Ismail Sabri Yaakob pula menjadi perdana menteri selama 15 bulan.
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata pihak-pihak yang berharap untuk melihat satu lagi rekod dicipta dengan kejatuhan Anwar telah gagal dalam percubaan mereka.
“Dalam tempoh kurang empat minggu, negara akan mendapat Yang di-Pertuan Agong baru apabila Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) naik takhta pemerintahan.
“Mereka yang berkomplot mahu supaya Anwar menjadi perdana menteri terpendek semakin terdesak.
“Ini kerana walaupun dengan berbagai rancangan mereka, yang terbaru Langkah Dubai dan Langkah Chow Kit, namun mereka masih gagal untuk menjatuhkan Anwar dengan cara yang tidak demokratik kerana tidak akan ada lagi ‘perdana menteri dari pintu belakang’ di Malaysia.
“Muhyiddin dan Ismail akan menjadi dua perdana menteri pintu belakang negara dan mereka akan tercatat dalam sejarah sebagai dua pemimpin yang tidak ditentukan oleh keputusan majoriti di parlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya pada satu kenyataan petang semalam.
Menurut Lim, Anwar yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 Nov 2022 telah menghabiskan tahun pertamanya “berjuang untuk hidupnya” ketika dia cuba menghalang pelbagai percubaan untuk menjatuhkannya.
Dia berkata kini kedudukan pengerusi PH itu sudah terjamin dengan kestabilan politik untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Turut baca :
Oleh itu, katanya Anwar perlu menumpukan kepada perpaduan nasional dan melaksanakan pelbagai reformasi institusi yang dijanjikan.
Lim berkata ini penting untuk memastikan Malaysia dapat bangkit semula sebagai sebuah negara majmuk bertaraf dunia yang hebat.
“Tiada rujukan yang lebih baik daripada pengisytiharan Semangat Merdeka yang dibuat oleh 60 pertubuhan masyarakat sivil negara yang pada 2007 yang mengenal pasti kegagalan dan halangan utama kepada kemajuan dan pertumbuhan Malaysia ke arah negara yang lebih maju dan demokratik.
“Negara harus memulihkan norma dan amalan demokrasi dan menegaskan komitmennya terhadap perlindungan dan sokongan institusi dan proses penting yang menjadi ciri sistem demokrasi yang cerdas dan berkembang maju,” tambahnya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan penganalisis menyatakan bahawa percubaan untuk menggulingkan Anwar akan berakhir apabila Sultan Ibrahim menjadi Agong, sambil menunjukkan bahawa pemerintah Johor telah berulang kali menekankan kestabilan politik.
Awal hari ini, ahli majlis tertinggi Umno Lokman Adam menyangkal dakwaan penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin bahawa pembangkang telah memperoleh 120 akuan berkanun (SD) melalui Langkah Dubai untuk menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Leave a Reply