Tubuh RCI siasat perbelanjaan dana kecemasan RM600 bilion pentadbiran Muhyiddin

Tubuh RCI siasat perbelanjaan dana kecemasan RM600 bilion pentadbiran Muhyiddin. Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara, Sany Hamzan berkata, ini bagi mengetahui tujuan perbelanjaan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.

“Jumlah itu sangat besar, jadi kita gesa RCI ditubuhkan untuk menyiasat ke mana wang itu dibelanjakan semasa pemerintahan Muhyiddin.

“Itu wang rakyat, jadi kita perlu tahu ke mana wang yang tidak audit itu, kita gesa polis siasat perkara ini,” kata beliau di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Terdahulu, Biro Mobilisasi Pakatan Harapan membuat empat laporan polis iaitu berkaitan posting Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Facebook miliknya yang didakwa menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Laporan polis turut dibuat berhubung rakaman audio mirip suara didakwa sebagai Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengatakan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

LAPORAN

Dua lagi laporan turut dibuat terhadap Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad yang mendakwa pelantikan Anwar bagi mengelakkan tindakan dari Israel dan laporan polis ke atas calon Perikatan Nasional bagi Padang Serai, Datuk Azman Nasarudin yang mendakwa kerajaan perpaduan yang dibentuk ketika ini adalah kerajaan zina.

Menurut Sany, pihaknya akan turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kecurigaan perbelanjaan dana RM600 bilion tersebut dalam masa terdekat ini.

Semalam, polis membuka siasatan terhadap Hassan selepas menerima laporan polis yang membuat dakwaan Anwar adalah ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Saaduddin dilaporkan berkata, kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya,” kata Noorsiah.

Hassan turut disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menghantar mesej dan gambar berunsur fitnah melalui akaun Facebooknya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Tubuh RCI siasat perbelanjaan dana kecemasan RM600 bilion pentadbiran Muhyiddin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*