ORANG tua sememangnya gemar bercerita tentang apa sahaja termasuklah barang yang diterima daripada keluarga.
Bagi mereka, cara tersebut dianggap sebagai tanda berterima kasih dan penghargaan kepada individu yang memberi.
Perkara sama dilakukan seorang nenek apabila menerima hadiah karpet daripada salah seorang cucunya, baru-baru ini.
Namun siapa sangka pemberian itu nampaknya tidak disenangi oleh saudara-mara lain.
Meluahkan kejadian itu di laman X, lelaki yang dikenali sebagai Hilmy berkata, dia membeli karpet untuk neneknya di kampung sempena sambutan Aidilfitri.
Ternyata hadiah yang diterima menggembirakan neneknya, dan kemudian diceritakan kepada saudara-mara.
“Nenek beritahu saudara aku yang aku ada belikan karpet untuk dia.
“Aku cakap kat nenek supaya tak ceritakan, tapi orang tua kan,” ujarnya.
Selepas berkongsi tentang pemberian tersebut, dia akui terkejut apabila saudaranya memberi reaksi yang tidak disangka-sangka.
Bukan sahaja tidak menyenangi dengan tindakannya, malah hadiah tersebut turut dihina seolah-olah tidak mencapai ‘standard’ dengan mempersendakannya seperti dibeli pada harga murah.
Sebaliknya, dia diminta untuk membeli karpet lain pada harga yang lebih mahal.
“Saudara aku ni cakap karpet murah ni, lain kali beli karpet harga seribu,” luahnya lagi.
Berang dengan kata-kata yang dilemparkan kepadanya, dia kemudian membalasnya semula kepada saudaranya.
“Aku terus cakap yang duit banyak sangat sampai tak tahu nak beli apa, itu yang belikan karpet murah,” tambahnya sekali gus membuatkan saudaranya menukar topik perbualan.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang memberikan kata-kata semangat di samping mengecam sikap saudara lelaki itu yang tidak beradab.
“Kadang-kadang nenek ni dia bukan kisah harga tu mahal atau murah, yang dia lebih seronok apabila cucu tu ingat dekat dia dan belikan apa-apa untuk dia.
“Yang si pendengki tu beli apa pula? Sibuk kutuk karpet orang beli.
“Dia cerita sebab rasa besar hati apabila cucu belikan karpet. Tahniah jadi cucu kesayangan nenek, abaikan mulut celaka tu.
“Busuk hati macam tu la… patutnya reply ‘murah rezeki cucu seorang ni’. Sedap bunyi sambil mendoakan,” tulis beberapa warga maya.
Turut baca :
Leave a Reply