Tak puas hati pokok hiasan di Dataran Merdeka dipijak, orang ramai ‘sekolahkan’ DBKL

Tak puas hati pokok hiasan di Dataran Merdeka dipijak, orang ramai ‘sekolahkan’ DBKL.  ‘Korang dah kenapa?’. Itu soalan dalam bahasa pasar di Facebook rasmi DBKL yang dilihat tak puas hati apabila pokok dan tanaman hiasan dipijak pengunjung sewaktu acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka hari ini.

“Seronok Min tengok lautan manusia membanjiri jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka pagi tadi bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Semangat cintakan negara seperti inilah yang kita mahu.

“Tapi dalam pada itu, ada pula sesetengah di kalangan kita yang langsung tak mempedulikan persekitaran dan keindahan kawasan..

“Langsung rasa tak bersalah merosakkan landskap yang disemai cantik. Semangat tu dah bagus tapi caranya tak betul,” kata pentadbir DBKL diakhiri dengan emoticon sedih.

Walau bagaimanapun, ada yang pula ‘sekolahkan’ balik DBKL dengan mencadangkan apa patut pihak berkuasa itu lakukan bagi mengelak perkara sedemikian berulang selain komentar yang bersetuju dengan DBKL.

Bagi Alang Gigih, sekitar Dataran Merdeka tidak patut lagi dikhususkan untuk golongan kenamaan atau ‘VVIP’ yang menyebabkan ruang orang awam semakin terhad.

“Suruh rakyat datang ramai-ramai tapi jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka bantai buat parking kereta vvip. Kereta vvip parking di Padang Merbok lain kali,” katanya.

Dalam masa sama, pengurusan landskap di sekitar Dataran Merdeka juga perlu mengambil kira penganjuran majlis berskala besar seperti sambutan Hari Kebangsaan.

Hisyam Hasan berpendapat dalam keadaan sesak, orang ramai memang tidak dapat gerak ke mana-mana mengakibatkan sebahagiannya terpaksa redah saja tanaman landskap itu.

“Mula dengan seorang (redah) kemudian yang lain pulak ikut, jahanamlah akhirnya.

“Pereka landskap perlu ambil kira program-program seperti ini. Kalau tidak, perkara sama akan berulang lagi,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan ratusan ribu hadirin hadir di Dataran Merdeka sempena hari kemerdekaan dengan tumpuan di Dataran Merdeka, tapak bersejarah yang menjadi saksi pengibaran Jalur Gemilang buat pertama kali pada 31 Ogos 1957.

Ruang terhad akibat kehadiran orang ramai itu juga boleh dilihat dengan penglibatan lebih 20,000 peserta persembahan dan perarakan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 tahun ini juga mencatat sejarah selepas dua tahun hari kemerdekaan negara diraikan tanpa kemeriahan akibat pandemik Covid-19.

Pengunjung dilapor membanjiri Dataran Merdeka, Kuala Lumpur seawal pukul 2 pagi lagi walaupun sambutan secara rasmi hanya bermula sekitar jam 8 pagi apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba dengan menaiki kereta kuda diraja.

Tak puas hati pokok hiasan di Dataran Merdeka dipijak, orang ramai ‘sekolahkan’ DBKL

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*