Tajuddin tolak ‘tawaran’ sertai PAS, BERSATU

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman mengakui ditawarkan menyertai Bersatu dan PAS namun menolaknya kerana masih “menaruh harapan” penggantungan keahliannya selama enam tahun ditarik balik parti.

Digantung sejak Oktober, Tajuddin berkata dalam rayuannya beliau telah memohon maaf di atas kelantangan mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan tidak mahu meneruskan persengketaan kerana masih setia dengan Umno yang banyak berjasa kepadanya.

Katanya, kerana sayangkan Umno, beliau sanggup menolak tawaran daripada beberapa parti pada PRU15 selepas namanya digugurkan daripada mempertahankan Parlimen Pasir Salak, yang akhirnya dirampas Perikatan Nasional (PN) menerusi calonnya Jamaludin Yahya.

“Saya tolak kerana sayangkan parti…presiden pun kata begitu, jadi mari bekerjasama dan jangan sensitif sangat,” katanya.

“Orang lain yang tidak bercakap (kritik), (hanya) “yes sir yes sir” mereka tidak membantu pun presiden sebenarnya tetapi menjatuhkannya apabila kalah PRU, akhirnya siapa yang rugi?,” kata Tajuddin yang pernah menjadi ahli MKT Umno selama 15 tahun dan 18 tahun sebagai ketua Umno Pasir Salak.

Tajuddin berkata beliau tidak melihat dirinya bersama parti selain Umno walaupun melalui pelbagai liku dan kecaman beberapa tahun kebelakangan ini, – digantung keahlian, dipecat MKT, dikritik hebat dalam isu kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) pada 2021 dan pengguguran pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia.

“Apa faedah gantung saya?,” sambil menegaskan beliau telah memberi banyak sumbangan kepada Umno.

“Saya tak keluar dari Umno walaupun mempunyai banyak pilihan, nak masuk PAS ke atau Bersatu. Tawaran pun mereka bagi kepada saya.”

Baru-baru ini bertiup khabar angin di media sosial mendakwa beberapa bekas pemimpin utama Umno bakal menyertai PAS, antaranya Annuar Musa, Tajuddin dan Khairy Jamaluddin.

Tajuddin, ahli politik kontroversi digantung keahlian selama enam tahun pada Oktober lalu selepas beliau secara terbuka mengkritik Umno berikutan penyingkirannya sebagai ahli MKT pada Jun 2022.

Beliau juga menggesa Zahid meletakkan jawatan selepas penyingkirannya. Namun rayuannya ditolak MKT pada 5 Jan lalu.

Pada pemilihan Umno baru-baru ini, anaknya, Faizal, gagal menyambung legasi Tajuddin dalam parti itu apabila tewas di tangan Khairul Azwan Harun bagi jawatan ketua Umno Pasir Salak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*