Sukan Sea 2023 : Pemuda PAS bercakap macam Kelantan juara Sukma, jaguh liga bola sepak

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari perlu ‘bercermin diri’ terlebih dulu sebelum menggesa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memohon maaf susulan prestasi buruk atlet Malaysia di Sukan SEA 2023.

Naib Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Ariff Bashiruddin Rusli, berkata dalam keadaan menteri dan timbalan menteri belia dan sukan baru saja memulakan tugasnya, tidak boleh mereka dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas prestasi negara di Kemboja.

Hakikatnya kata Ariff Bashiruddin persiapan kontinjen negara dibuat jauh lebih lama sebelum Hannah Yeoh serta Adam Adli Abd Halim memulakan tugas di KBS.

“Ahli Parlimen Pasir Mas itu bercakap bagaikan Kelantan ini adalah juara bertahan dalam Sukma, dan juga jaguh liga bola sepak negara.

“Sebelum galak mendesak orang lain minta maaf, sepatutnya kita cermin diri sendiri dahulu dan lihat sejauh mana prestasi pasukan sendiri dalam arena sukan.

“Pada Sukma 2022, pasukan Kelantan berada di kedudukan kedua tercorot,” katanya.

Kaitkan sukan dengan politik

Terdahulu Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebook antara lain menyarankan Yeoh serta Adam Adili memohon maaf kepada peminat sukan negara, selain melakukan post-mortem menyeluruh mengenai prestasi atlet negara di Sukan SEA baru-baru ini.

“Saya tidak mahu salahkan menteri dan pasukannya seratus peratus di atas kegagalan ini, namun selaku pemegang teraju di KBS, menteri wajib melaksanakan post-mortem menyeluruh dan bukannya hanya menyalahkan atlet Malaysia yang terpaksa berjuang di bawah keadaan serba kekurangan disebabkan kegagalan ‘master plan’ KBS.

“Didahului dengan ucapan maaf secara terbuka kepada semua peminat sukan Malaysia dengan mencatat sejarah terburuk malah lebih teruk daripada pencapaian Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada tahun lepas, saya fikir tempoh ‘berbulan madu’ sudahpun berakhir.

”Menteri dan timbalannya, rakan saya Adam Adli perlu mengambil langkah membina semula sukan negara melalui dasar perlindungan kebajikan atlet bagi mencungkil lebih ramai bakat baru, selain mengakui kegagalan pengurusan di beberapa peringkat adalah merupakan penyebab utama sasaran pingat sukan SEA edisi kali ini tidak berjaya dicapai,” katanya.

Selain itu beberapa pimpinan PAS dilihat turut mempolitikkan situasi kemerosotan pencapaian barisan atlet negara.

Antaranya bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat Ahmad Dusuki Abd Rani yang menyindir dengan mengucapkan ‘tahniah’ kepada menteri dan timbalan menteri belia dan sukan, serta seluruh para penyokong kerajaan Madani.

Bahkan bekas calon PAS untuk PRU ke-14 itu mengaitkan prestasi tersebut dengan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Kejayaan pencapaian ini akan dikenang sebagai ingatan yang terbawa-bawa sehingga PRN,” katanya.

Ariff Bashiruddin berkata ahli politik seharusnya punya semangat untuk membina rakyat, negeri dan negara, bukannya sekadar terlolong-lolong mencari publisiti.

“Sedangkan ketika asyik menuding seluar orang yang terkoyak, rupanya jubah diri sendiri kainnya sudah terbelah,” katanya berkias.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*