Mulai semalam, lebih 100 pelajar sekolah di Kuala Geris, Gua Musang, Kelantan pergi ke sekolah secara percuma apabila skim kad MyRailLife diperkenalkan.
Mereka adalah pelajar sekolah yang bergantung kepada perkhidmatan Shuttle Timuran KTMB untuk ke sekolah di Dabong, Gua Musang.
Ibubapa mereka boleh berjimat sehingga RM240 sebulan untuk perkhidmatan Shuttle Timuran yang disediakan oleh KTM Berhad ini.
Turut mendapat faedah ini adalah ribuan pelajar sekolah serta orang kurang upaya (OKU) di Lembah Klang dan lain-lain kawasan yang terlibat dengan penggunaan keretapi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan berita baik itu buat semua pelajar sekolah dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pengenalan pas perjalanan percuma yang dikenali sebagai MyRailLife.
Bermula 15 Februari 2023, semua pelajar sekolah tahun satu hingga tingkatan enam yang berumur dari tujuh tahun sehingga 19 tahun serta golongan OKU boleh menikmati perkhidmatan KTM Shuttle Timuran Sektor Gemas-Tumpat, KTM Komuter Sektor Lembah Klang dan KTM Komuter Sektor Utara secara percuma.
Kementerian Pengangkutan telah mengambil inisiatif khusus ini bagi meringankan beban perbelanjaan pengangkutan kepada semua pelajar sekolah dan golongan OKU untuk terus menikmati pengangkutan awam khususnya perkhidmatan tren yang disediakan oleh KTMB secara percuma.
Pengenalan pas MyRailLife ini memberikan impak kewangan yang besar, khususnya bagi rakyat yang menggunakan perkhidmatan KTMB sebagai satu saluran penting untuk anak-anak mereka menuntut ilmu. Contohnya di Kelantan, pelajar di Kuala Geris ini.
Pengenalan inisiatif ini sudah tentu akan dapat mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang menampung kos pengangkutan anak-anak mereka.
Pas MyRailLife ini boleh digunakan tanpa had dalam tempoh sahguna tersebut.
Menurutnya lagi, inisiatif pas MyRailLife ini adalah ditanggung oleh penjimatan yang tercapai susulan penangguhan perkhidmatan KTM Komuter Subang Skypark (Skypark Link) yang kurang mendapat sambutan.
Bukan itu sahaja, Anthony juga mengumumkan berita baik untuk penduduk utara yang menggunakan perkhidmatan KTMB sebagai mod pengangkutan utama mereka.
Menurut Anthony, beliau sangat menghargai maklum balas dan bersimpati dengan para penumpang KTM Komuter Sektor Utara, terutamanya di laluan Padang Besar-Butterworth, yang mengadu tentang kesesakan di waktu puncak disebabkan permintaan yang semakin meningkat.
Jelasnya lagi, susulan penangguhan Skypark Link, tiga set tren 3-gerabak EMU akan dihantar ke utara untuk menambahbaik perkhidmatan KTM Komuter sektor utara. Penambahan jumlah tren ini sekaligus menjadi solusi kepada masalah kesesakan tren yang berlaku khususnya pada waktu puncak.
Usaha ini mungkin dianggap kecil bagi sesetengah pihak, tetapi sebenarnya ia memberi impak besar bagi mereka yang menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Perkhidmatan ini adalah antara bukti tekad usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim komited terhadap agenda yang berpaksikan kepada keperluan rakyat, dan bantuan akan diberikan kepada semua, tanpa mengira negeri itu ditadbir oleh mana-mana pihak sekalipun.
Leave a Reply