Sindiket nikah tanpa tauliah didalangi ‘Ustaz Zul’ tumpas

Sindiket nikah tanpa tauliah didalangi ‘Ustaz Zul’ tumpas.

Sindiket nikah tanpa tauliah di sini yang didalangi ‘Ustaz Zul’ tumpas apabila diberkas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam serbuan di Chepor dekat sini, baru-baru ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 9.30 malam bersama 16 individu termasuk isteri dan anak kepada suspek.

 

Katanya, ketika serbuan dibuat, lelaki itu yang mendakwa dirinya adalah jurunikah bertauliah sedang menikahkan pasangan dari Klebang, Ipoh.

“Siasatan mendapati, pernikahan itu dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama.

“Menerusi serbuan tersebut, kita merampas sebanyak 15 keping surat nikah Thailand yang dipercayai palsu atas nama pelbagai pasangan,” katanya di sini hari ini.

MOHD. YUSOP HUSIN

Menurut Mohd. Yusop, siasatan awal mendapati, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu perlu mengeluarkan belanja antara RM4,500 hingga RM6,000 bagi menguruskan pernikahan secara rahsia.

Katanya, sindiket berkenaan juga didapati mengeluarkan surat nikah Thailand disyaki palsu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“JAIPk memandang serius kegiatan pernikahan sindiket ini. Beberapa lokasi dan individu lain juga dikenal pasti menjalankan perbuatan sama.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat di mana siasatan dibuat mengikut Seksyen 40 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 kerana kesalahan mengakad nikah tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai dinasihati tidak terlibat dengan pernikahan sindiket yang kononnya sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pernikahan terutamanya secara poligami.

“Kesan tindakan tersebut bukan sahaja melibatkan kerugian wang ringgit, malah, pernikahan itu berdepan status tidak sah sekali gus boleh merosakkan nasab keturunan,” katanya.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*