Polis menahan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan penerbangan tambang murah, MYAirline.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, suspek lelaki itu akan dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang, Kuala Lumpur untuk tahanan reman pada jam 10 pagi ini.
“Pada awal pagi ini satu lagi tangkapan suspek telah dibuat di rumahnya di Bangsar.
“Setakat ini JSJK PDRM telah merampas 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd, enam jam tangan mewah, lapan beg tangan mewah, dua komputer riba, satu CPU dan 10 items barang kemas,” katanya.
Penahanan itu menjadikan empat individu ditahan termasuk pengasas syarikat penerbangan tambang murah itu.
Sebelum ini, 15 individu memfailkan saman terhadap pengasas bersama MYAirline, ahli perniagaan, Allan Goh Hwan Hu, dan empat syarikat atas dakwaan gagal membuat bayaran balik berhubung pelaburan lebih RM8 juta.
Ramli juga berkata, reman suspek utama tamat pada hari ini dan akan dibebaskan dengan jamin polis.
“Siasatan masih diteruskan dengan tumpuan semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve,” katanya lagi.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan dengan fokus semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve.
Selasa lalu, polis menahan ahli perniagaan berusia 57 tahun itu bersama isteri, 55, dan anaknya, 26, di rumah mereka di Shah Alam, Selangor bagi siasatan kes mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Reman terhadap isteri dan anak lelaki ahli perniagaan itu tamat pada Sabtu.
Leave a Reply