Serpihan tulang milik manusia ditemui atas bumbung bangunan

MANJUNG – Serpihan tulang dipercayai milik manusia ditemui di atas bumbung bangunan sebuah syarikat bersebelahan Bank CIMB di Sitiawan di sini hari semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan dari seorang wanita kira-kira pukul 10.20 pagi berhubung penemuan serpihan tulang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian telah menjumpai dua rangka manusia tanpa jantina dan identiti serta sehelai bendera Perak, beberapa potongan pita lekat semula berwarna hitam, cebisan kain bercorak warna-warni dan cebisan kain bendera Perak.

“Turut ditemui cebisan baju kemeja warna putih, sarung bantal warna biru, dua bungkusan plastik warna merah disyaki berisi tengkorak manusia setiap satu dan sebilah pisau berhulu plastik hitam,” katanya.

Beliau berkata, rangka manusia yang dijumpai itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum mati.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung, Asisten Superintendan Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837 untuk membantu siasatan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*