Serang Balai Polis Ulu Tiram : Dua anggota terkorban baru 2 tahun bertugas

Dua anggota polis yang terkorban dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi baru berkhidmat dengan pasukan itu kira-kira dua tahun.

Polis dalam catatan Facebooknya berkata, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Muhamad Syafiq Ahmad Said merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai terbabit.

“Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dan Timbalannya, Ayob Khan Mydin Pitchay serta seluruh warga polis menzahirkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham yang meninggal dunia ketika bertugas dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

“Didoakan kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.”

Terdahulu, Razarudin memaklumkan Fahmi berasal dari Bidor, Perak manakala Syafiq dari Kuantan, Pahang.

Dalam kejadian 2.45 pagi tadi, seorang suspek berusia 22 tahun yang bertopeng dan bersenjatakan pistol serta parang menyerang balai polis itu.

Dua anggota polis itu maut ditetak dan ditembak suspek yang kemudiannya ditembak mati di lokasi kejadian. Seorang lagi anggota polis turut cedera dalam serangan berkenaan.

Razarudin mengesahkan suspek itu anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah dan tujuh individu, termasuk lima ahli keluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*