KUALA PILAH: Seorang lelaki berjaya ditangkap polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata parang di lorong belakang sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah di sini pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab berkata, lelaki berusia 50-an itu ditangkap di daerah ini pada pukul 10 malam tadi oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.
“Permohonan reman telah dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Pilah dan suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 10 Mei ini. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan polis sedang memburu dua suspek yang terlibat dalam kejadian samun melibatkan barang kemas dengan anggaran berat tujuh kilogram dan bernilai lebih kurang RM1.8 juta.
Syahrul Anuar berkata, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam, pihak Bilik Gerakan IPD Kuala Pilah telah menerima panggilan telefon dari seorang pekerja Kedai Emas Nurjannah yang melaporkan dua lelaki yang merupakan pengedar barang kemas telah disamun di lorong belakang kedai itu.
Jelas beliau, ketika kejadian, kedua-dua mangsa membawa barang kemas berkenaan.
Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kedua-dua suspek ketika kejadian menggunakan topeng muka, bersenjatakan parang dan telah menggunakan dua buah kereta iaitu Toyota Camry berwarna putih dan Toyota Corolla berwarna perak dengan kedua-duanya menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Leave a Reply