Parti-parti politik yang menyokong kerajaan yang diterajui oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memeterai perjanjian berkaitan kerjasama itu esok, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Berita Harian melaporkan ia akan membabitkan semua ketua parti yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri dan akan mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin ini.
“Semua ketua parti sudah berbincang malahan hari ini saya balik ada mesyuarat di peringkat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian,” katanya yang juga ketua whip GPS, ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.
Portal itu juga memetik Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal, sebagai berkata dia akan hadir pada majlis itu.
“Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu.
“Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya,” katanya.
Leave a Reply