‘Saya rindu nak peluk, dakap anak’

“Saya rindu nak dakap, peluk anak dan berbual-bual dengannya. Saya rindu dia panggil saya ayah.”

Itu luahan seorang warga emas dikenali Zamree, 61, yang menanggung rindu dengan anak perempuan tunggalnya yang terpisah selepas dia bercerai de­ngan isterinya sejak 17 tahun lalu.

Menurut lelaki itu, dia bercerai dengan isterinya ekoran campur tangan keluarga mentuanya dan usia perkahwinan mereka hanya mampu bertahan dua tahun.

usulan itu, katanya, hak penjagaan anak telah berjaya dimenangi oleh bekas isterinya dan dia pula tidak dibenarkan untuk mendekati anak perempuannya itu.

“Ketika itu anak baru hendak masuk usia dua tahun. Selama ini, kalau saya mahu lihat anak hanya dari jauh. Kalau panggil pun anak tidak kenal. Dia sahaja anak perempuan tunggal saya. Saya paling rindu nak dengar dia panggil saya ayah.

“Ini juga Ramadan dan Aidilfitri pertama saya di rumah warga emas. Sudah tentunya, terfikir mahu makan dan sambut raya bersama anak.

“Bagaimanapun, saya yakin anak akan cari bapanya nanti memandangkan saya walinya. Cuma tidak tahu sama ada masih panjang umur atau tidak,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Zamree adalah antara 40 peng­huni pusat jagaan warga emas, Bait Al-Mawaddah di Seksyen 30, Jalan kebun, di sini.

Pusat jagaan tersebut yang dibina atas tanah wakaf seluas 0.6 hektar diuruskan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bercerita lanjut, Zamree sebelum ini bekerja sebagai rider memaklumkan baru lima bulan menghuni rumah warga emas itu selepas ‘dipujuk’ pihak pengurusan pusat jagaan tersebut.

Sebelum ini, dia hanya tinggal seorang diri di dalam sebuah bilik sewa yang ditanggung LZS di Selayang Baru.

“Saya asnaf sejak 2015 de­ngan mempunyai penyakit se­perti kencing manis dan sebelum ini diagnosis barah usus, namun te­lah pulih sepenuhnya.

“Ibu, ayah dan abang kandung telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Lagipun adik-adik pun tidak jenguk saya dan tidak tahu apa dosa saya ini,” ujarnya yang juga anak kedua daripada empat beradik.

Berlainan pula kisah rakannya yang dikenali Ima, 63, yang secara sukarela tinggal di pusat ja­gaan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan adik-beradik serta anak lelaki tunggalnya yang kini berusia 25 tahun.

Ima berkata, pergerakannya kini terbatas serta terpaksa bergantung alat sokongan berjalan selepas terjatuh di dalam bilik air rumahnya sekitar daerah ini, sejak tiga tahun lalu.

“Saya ditinggalkan gantung tanpa bertali ketika hamil empat bulan.

“Dia (suami) tidak pernah je­nguk, lihat saya atau pun anak, malah tiada diberikan nafkah sekalipun.

“Pernah saya mohon bercerai di mahkamah, namun dia tidak pernah datang dan akhirnya jadi begini. Semasa masuk ke sini, anak sedang belajar di sebuah institut pengajian tinggi di Ipoh Perak dan sekarang ini telah be­kerja di Kedah,” katanya.

Menurut Ima, anak lelakinya pernah berulang kali mengajak untuk tinggal bersamanya, namun dia enggan ekoran tidak mahu membebankannya.

Lagipun katanya, fasiliti yang disediakan di rumah jagaan tersebut adalah lengkap dan mesra warga emas terutama mempunyai alat pemegang di sepanjang rumah jagaan ini.

“Saya tidak mahu balik sebab mahu kehidupan anak stabil terlebih dulu memandangkan dia baharu lebih setahun bekerja. Hendak jaga orang tua terutama yang sukar berjalan, susah.

“Lagipun, saya reda dan sentiasa berdoa keselamatan anak. Tidak pernah salahkan atau berkecil hati dengan anak,” ujar­nya.

Seorang lagi penghuni, Nurul Zinaidah Balqis Abdullah, 65, pula berhasrat mahu meninggal dunia di Bait Al-Mawaddah ke­rana baginya rumah itu mengajar­nya tentang keindahan Islam termasuk mengaji.

“Saya mualaf sejak umur 27 tahun, namun tidak pernah diajar oleh bekas suami untuk mendalami agama ini termasuk bersolat. Kami bercerai selepas 20 tahun berkahwin susulan kecurangan yang dilakukan bekas suami.

“Saya berasa tenang di sini terutama apabila selepas solat subuh. Ramai kawan, dijaga sebaiknya oleh kakitangannya.

“Mereka adalah keluarga saya. Terima kasih pembayar zakat kerana anda, saya mampu ‘ber­teduh’ di rumah ini,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*