Satu lagi candu buat orang Melayu

Jika Karl Marx masih hidup dan sihat walafiat sehingga ke hari, dan akal fikirannya masih segar, dan beliau sempat menelaah tentang bangsa Melayu, pasti dia akan menelurkan sebuah lagi adagiumnya, iaitu “race is the opiate of the Malays”.

Mahathir Mohamad ternyata seorang politikus berbanding seorang negarawan. Otaknya tidak dapat berhenti sejenak dari persoalan politik. Mungkin dia tidak mahu mengalami dementia seperti Pak Lah. Dia mahu sehingga nyawanya ditarik malaikat maut kelak, ketika dia masih lagi memikirkan persoalan politik. Dia tidak mahu mengikuti saranan Nik Abduh Nik Aziz suatu masa dahulu yang menyuruhnya untuk menghabiskan sisa hidup di atas sejadah.

Denyut nadi Mahathir sudah sebati dengan politik. Walaupun beliau mengalami kekalahan yang paling memalukan, hilang deposit di Langkawi, tempat yang dia sendiri bangunkan, mengatasi kawasan-kawasan lain di Kedah (yang banyak menjadi kubu kuat PAS), dia nampaknya masih liat untuk berhenti terlibat dalam politik. Mahathir tidak takut untuk dipermalukan sekali lagi. Atau mungkinkah sekarang ini, dia hendak menebus malunya?

Selain Anwar Ibrahim yang merupakan musuh utama Mahathir, Hadi Awang tidak terkecuali memainkan watak sebagai musuh Mahathir selama ini. Amanat Hadi yang paling kontroversial dan belum ditarik balik sehingga hari ini atau diumumkan tarikh luputnya, diterbitkan ketika era Mahathir. Lantaran Amanat Hadi, berhembuslah api dari sebuah kampung bernama Memali, yang akhirnya mencetuskan Tragedi Memali. Suka tidak suka, Tragedi Memali inilah yang meninggalkan parut paling besar dalam era pemerintahan Mahathir atau bara luka terhadap penyokong PAS yang menyimpan dendam terhadap Mahathir. Anak-anak Memali terutama anak Ibrahim Libya masih berbara dengan Mahathir. Bukan sahaja anak-anak Memali berasa marah dengan Mahathir, tetapi Mahathir juga mendapat susah kerana Memali, yang berakar dari Amanat Hadi.

Sekonyong-konyongnya kedua-dua sosok ini boleh kembali bertaut dalam Proklamasi Orang Melayu. Memang nampak Hadi yang lebih hendak menumpang Mahathir. Seperti dejavu ketika mana Deklarasi Rakyat–yang ketika itu begitu ramai menentang Mahathir pergi kepada Mahathir. Ternyata Mahathir sehingga ke usia menuju 100 tahun, masih mempunyai aura untuk menarik orang bahkan musuh bebuyutan (nemesis) selama ini kepadanya.

Ironinya, suatu masa dahulu pemimpin Amanah pergi kepada Mahathir, yang mereka lawan mati-matian, hingga ada sosok yang mengatakan “titik atas huruf i pada nama Mahathir pun kita tidak boleh percaya”, pun pergi menyembahnya. Dan kini pula selepas pemimpin Amanah banyak mendapat jawatan dan ghanimah hasil berkhidmat untuk PMX, Mahathir pula ditinggalkan. Maka yang merapati Mahathir atau hendak menumpang tuah atau keramat Mahathir pula ialah Hadi. Betapa khurafatnya pemikiran orang politik kita.

Kes rasuah

Sememangnya Mahathir ketika menyaman Anwar RM150 juta atas tuduhan mencalarkan imejnya. Tetapi nampaknya Mahathir tidak boleh menunjukkan Anwar juga mempunyai kes rasuah seperti Najib Razak atau Zahid Hamidi. Maka kerana itu Mahathir menonjolkan persoalan kemelayuan dalam Proklamasi Orang Melayu. Jadi Anwar tidak dapat dijatuhkan dengan tuduhan rasuah, sebaliknya persoalan Melayu. Soalnya, adakah Melayu (sahaja) terbeban dalam lima bulan pemerintahan Anwar ini?

Jika Mahathir memfokuskan kepada masalah penjimatan (austerity) Anwar ini, itu lebih baik. Kedua-dua sosok ini bermusuh secara politik, tetapi nampaknya berfahaman ekonomi yang sama. Kedua-duanya agak kedekut dalam perbelanjaan kerajaan. Maka yang diserang Mahathir ialah isu orang Melayu.

Orang Melayu harus lebih bijak

Orang Melayu harus mencontohi orang Langkawi yang berani menolak kepimpinan Mahathir. Orang Langkawi berani menolak kepimpinan Mahathir, meskipun mereka mengundi Perikatan Nasional (PN), tetapi mereka berani menolak Mahathir sehingga hilang deposit di tempat yang dia bangunkan. Isunya bukanlah mereka tidak menghargai jasa dan sumbangan Mahathir selama ini, tetapi cukuplah untuk kesekian kalinya sosok ini mahu kekal memerintah negara. Sosok ini harus direhatkan. Bukan Mahathir seorang sahaja yang boleh memerintah Malaysia. Peluang harus diberikan kepada orang lain juga.

Dan bila PN menggondol tempat pertama dalam pilihan raya 2022 di Langkawi, bagaimana Mahathir boleh percaya kepada PAS, yang Ku Li sendiri pernah menyebut PAS itu pelacur politik? Rekod lidah bercabangnya boleh dikatakan sama seperti Mahathir. Pastinya kedua-dua ini sama-sama tidak mempercayai, dan pastinya kedua-duanya mengerti hal itu. Maka kerana itulah orang Melayu tidak harus tertipu dan terpedaya dengan permainan politikus.

Jika mahu jatuhkan PMX

Maka gunalah saluran yang telah sedia. Tidak perlu terjebak dengan gerakan kuning di Sogo baru-baru ini, ataupun Proklamasi Orang Melayu, yang hanya sekadar hendak menipu atau mencandukan orang Melayu. Tunggu sahaja pilihan raya negeri yang akan dijalankan tahun ini. Dan hukumlah kerajaan PMX yang gagal mengotakan janji pilihan raya umum sebelum ini. Orang Melayu harus mengundi bukan menggunakan sentimen. Tetapi harus mengundi dengan akal yang waras dan dengan membaca keadaan. Jika negara ini sering bertukar-tukar tampuk kepimpinan dalam masa setahun atau tidak sampai satu penggal, maka Malaysia akan makin ditinggalkan. Tatkala Indonesia semakin maju ke hadapan dipacu Jokowi, kita masih berpolitik tak habis-habis. Sedangkan mekanisme untuk menyalurkan pilihan telah disediakan, tetapi kita masih membiarkan diri kita ditipu para politikus yang angkuh dan mahu merengkuh kuasa menggunakan apa sahaja cara.

Biar PMX jatuh dalam pilihan raya umum akan datang, bukan kerana gangguan-gangguan syaitan yang kerjanya mengucar-ngacirkan politik sepanjang masa. Jika ada demonstrasi pun, bukanlah demonstrasi berkaitan kaum dan agama, tetapi berkaitan hak-hak pekerja atau gaji yang kurang. Inilah masalah utama sebenar-benar kita. Bukan tentang kaum dan agama apa. Baik Melayu, Cina, India, sama-sama susah dan sama-sama bekerja untuk hidup. Semua orang pun susah mencari makan di Malaysia. Bukan hanya Melayu sahaja. Dan orang yang bercakap tentang Proklamasi Orang Melayu inipun orang senang, sama ada tinggal di kayangan atau di Marang. Mereka tidak tahu dan mengalami resah, gelisah dan susah rakyat yang mencari nafkhah. Mengikuti telunjuk mereka hanya menjadikan mereka sebagai penguasa, dan kita tetap binasa.

Baik PAS dan Mahathir, kedua-duanya pernah memerintah Malaysia. Mahathir saja selama 22 tahun 22 bulan. Bagaimana nasib Melayu ketika itu? Adakah lebih baik berbanding hari ini? Begitu juga PAS dalam kerajaan PN dan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini, bersama Muhyiddin Yassin dan era Ismail Sabri Yaakob, adakah lebih baik berbanding hari ini? Jika sama sahaja PMX ini dan sebelum ini, elok kekalkan sahaja sehingga habis penggal. Supaya rejim PMX ini boleh dijatuhkan bila-tiba masa atau tempoh masaknya. Jadi PAS, PN atau Mahathir jika masih hidup lagi pada 2027, bolehlah mencuba nasib pada ketika itu. Tidak perlu memainkan sentimen orang Melayu untuk menipu orang Melayu.

BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*