Samakan wanita dengan ‘barang jualan’, pemimpin PAS dikecam

Seorang pemimpin kanan PAS dikecam kerana menyamakan wanita dengan “barang” dan menilai mereka dengan “murah” atau sebaliknya berdasakan keadaan ia dijual.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Azman Ibrahim berkata sesuatu barang itu akan dianggap bernilai tinggi atau sebaliknya berdasarkan cara ia dibungkus.

Katanya kaedah pembungkusan barang tersebut memainkan peranan dari aspek pemasaran.

“Kalu (Kalau) main jual terdedah tepi jalan, itu barang tiruan harga murah,” katanya di Twitter.

Mengiringi ciapan Azman ialah laporan berita yang menunjukkan komen Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman mengenai isu seorang wanita didakwa berdepan kesukaran membuat laporan polis kerana berseluar pendek.

Ia mengundang kemarahan banyak pihak yang beranggapan pihak berkuasa perlu melihat kepada isu yang dibawa kepada mereka berbanding penampilan seseorang.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan pula menjelaskan kekecohan berlaku apabila ada seorang wanita yang ingin membuat laporan kemalangan sebaliknya memprovokasi anggota bertugas di balai.

Nak menilai dari luaran

Katanya, ia berlaku apabila wanita terbabit tidak berpuas hati selepas dihalang daripada masuk ke balai terbabit kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.

Memberikan reaksi kepada insiden tersebut, bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan pula berkata menjadi tugas anggota keselamatan terbabit menerima laporan yang dibuat oleh orang awam dalam apa jua keadaan.

Kata Musa, isu pakaian orang awam ke balai polis sepatutnya tidak harus menjadi soal kerana perkara paling utama adalah mereka memerlukan bantuan.

“Tiada sesiapa yang akan pergi ke balai polis untuk membuat laporan, melainkan mereka terpaksa kerana memerlukan bantuan polis.

“Ia bukan sahaja dalam kes hidup dan mati, oleh itu tidak kira bagaimana seseorang harus berpakaian. Menjadi tugas polis untuk menerima laporan dalam apa jua situasi,” ciapnya.

Young Syefura pula menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menjalankan tugas mereka tanpa berburuk sangka atau seksis terhadap wanita.

“Rata-rata yang hadir ke balai polis untuk membuat laporan polis adalah rakyat yang memerlukan bantuan. Pakaian yang dipakai dan penampilan mereka sepatutnya tidak menjadi isu.

“PDRM perlu melatih anggota dan pegawai mereka untuk bersedia menerima kehadiran rakyat waima (apa juga) pakaian dan penampilan mereka,” katanya.

Meneruskan ciapannya melalui rajutan sama, Azman berkata dia tidak pasti sama ada masih wujud atau tidak manusia yang berpendapat tidak wajar menilai seseorang berdasarkan luaran mereka.

“Tak tahulah kalau ada lagi orang yang berpegang dengan kaedah, jangan nilai seseorang dari penampilan pakaian luaran,” ciapnya.

Mengulas kenyataan Azman warganet berpendapat tidak wajar untuk pemimpin PAS terbabit menyamakan wanita dengan barang.

Misalnya seorang pengguna Twitter menyatakan rasa kecewa apabila exco Terengganu itu menganggap wanita sekadar seperti barang saja, justeru tidak ada nilai dalam PAS.

Pengguna lain pula menganggap kenyataan dan pandangan Azman itu sebagai “menjijikkan.”

Untuk rekod Azman merupakan Adun Jabi yang memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 55 undi pada PRU ke-14 lalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*