Salahuddin : Tubuh pasukan khas untuk teliti aduan perkhidmatan Touch ‘n Go’

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menubuhkan pasukan khas bagi meneliti aduan rakyat berhubung perkhidmatan Touch ‘n Go (TNG).

Menterinya Salahuddin Ayub berkata pasukan yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat itu akan diketuai ketua setiausaha KPDN.

Katanya pasukan itu perlu ditubuhkan memandangkan sejak kebelakangan ini, KPDN kerap menerima aduan daripada pengguna mengenai perkhidmatan TNG terutamanya sepanjang minggu sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

“Saya telah meminta pihak bertanggungjawab untuk membuat kajian dan meminta pihak pengurusan TNG menjawab beberapa aduan dan rungutan orang ramai sehinggakan ada aduan yang sampai kepada saya sendiri.

“Saya akan minta laporan diberikan kepada kementerian bagi setiap kes, sebagai contoh semalam, kita dapat secara terperinci tentang satu masalah dan syarikat memberikan jawapan dengan segera, sekali gus isu timbul dapat dipantau,” katanya pada sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata tindakan bakal dikenakan terhadap syarikat pengendali jika tidak menunaikan tanggungjawab menyelesaikan isu berbangkit berhubung perkhidmatan berkenaan.

“Saya akan teliti dan pastikan mereka (syarikat pengendali) menunaikan tanggungjawab, (tetapi) sekiranya mereka tidak mengambil perhatian, maka saya akan membincangkan tindakan yang akan diambil,” katanya.

Salahuddin berkata antara aduan yang diterima berhubung perkhidmatan berkenaan termasuk isu berkaitan kad prabayar Visa TNG, kesukaran mendapat kad TNG, masalah Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) selain talian hotline yang tidak dijawab.

Salahuddin : Tubuh pasukan khas untuk teliti aduan perkhidmatan Touch 'n Go'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*