Salahuddin gesa pelantikan pesuruhjaya Suhakam ‘dikaji’ semula

Salahuddin gesa pelantikan pesuruhjaya Suhakam ‘dikaji’ semula.  Kerajaan digesa menilai semula pelantikan pengerusi serta pesuruhjaya baru Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), kerana dianggap tidak bersesuaian dengan fungsi badan berkenaan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, berkata pelantikan pengerusinya, Dr Rahmat Mohamad, sebagai contoh hendaklah dibuat dalam kalangan individu yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam bidang hak asasi manusia.

Salahuddin gesa pelantikan pesuruhjaya Suhakam dikaji semula
Salahuddin Ayub

Kali ini, katanya, pelantikan berbeza dibuat apabila individu yang dianggap tidak pernah dikenali mempunyai pengalaman praktikal dalam hak asasi manusia menjadi pilihan.

“Pelantikan tanpa merit ini akan memberikan kesan kepada integriti Suhakam sebagai badan berkanun yang diamanahkan untuk menasihati kerajaan dalam merumuskan perundangan, arahan dan tatacara pentadbiran agar selari dengan prinsip hak asasi manusia.

Salahuddin gesa pelantikan pesuruhjaya Suhakam dikaji semula
Dr Rahmat Mohamad,

“Pelantikan Rahmat sebagai pengerusi Suhakam juga merupakan satu lantikan kontroversi.

“Dia ialah penulis kertas cadangan yang menghalang Malaysia daripada menandatangani Statut Rom walalupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan peguam negara telah memberikan nasihat sebaliknya,” kata Salahuddin.

Ahli parlimen Pulai itu berkata dengan kedudukan Rahmat sedemikian orang ramai tertanya-tanya jika dia mampu menegur perdana menteri dan kerajaan sekiranya terdapat pelanggaran hak asasi manusia dilakukan.

Menurut Salahuddin, komposisi barisan pesuruhjaya yang baru juga jelas tidak mencerminkan kepelbagaian latar belakang sebagaimana yang diperuntukkan oleh Akta Suhakam 1999.

Katanya jika perdana menteri benar-benar jujur dan mahu mempertahankan hak asasi manusia, tokoh dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) atau Orang Asli juga boleh dilantik.

“Jangan jadikan jawatan pesuruhjaya Suhakam sebagai ghanimah (habuan) perang kepada ahli akademik, peguam dan tokoh masyarakat yang menyokong dan mesra kerajaan tanpa melihat merit mereka,” katanya.

Tambah Salahuddin, pelantikan pesuruhajaya Suhakam haruslah telus, inklusif dan hanya diberikan kepada individu yang benar-benar faham secara praktikal tentang hak asasi manusia.

“Ia mesti dinilai semula sebelum ia mencemarkan status Suhakam sebagai sebuah institusi hak asasi manusia kebangsaan berstatus ‘A’ dan memalukan Malaysia yang merupakan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ” katanya.

Pada 1 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan lapan anggota Suhakam yang baru bagi sesi 2022-2025.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Beberapa anggota dilantik itu termasuk pemimpin Umno seperti Hasnal Rezua Merican Habib Merican yang merupakan timbalan ketua Umno Selayang dan ketua Wanita Umno Kulim Bandar Baharu, Nazira Abdul Rahim.

Turut baca

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*