Salahuddin : 2 lagi stesen minyak tanpa subsidi akan dibuka di sempadan

Dua lagi stesen minyak petrol dan diesel tanpa subsidi bagi membolehkan kenderaan pendaftaran asing mendapatkan bekalan bahan api itu, disasarkan untuk dibuka di sempadan negara dalam tempoh enam bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata dua stesen minyak petrol dan diesel tanpa subsidi yang telah beroperasi di sempadan Malaysia-Thailand iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, tetap mendapat sambutan baik walaupun menjual bekalan minyak lebih mahal daripada harga bersubsidi.

“Minggu lepas bila saya berada di Padang Besar harga minyak RON95 pada pagi itu RM3.35 tapi harga di Thailand RM5.25 (minyak yang sama), maknanya beza itu masih besar, tapi tiada masalah kereta-kereta dari Thailand bila masuk negara kita mereka boleh beli minyak tanpa subsidi,” katanya.

Dalam sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini, Salahuddin berkata beliau menyatakan dalam nota Kabinet untuk meneroka stesen minyak tanpa subsidi di sempadan negara yang terletak di sebelah timur dan selatan.

Mungkin lebih banyak stesen ini dapat kita buat di Johor Bahru kerana harga minyak kita dengan Singapura masih lagi beza jauh,” katanya.

Ketika melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, katanya, mereka turut membincangkan tentang kemungkinan beberapa bandar di sempadan Indonesia yang boleh dibina stesen minyak tanpa subsidi.

Pada majlis itu, Salahuddin turut melancarkan platform Microsite Francais Malaysia yang dibangunkan oleh KPDN dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia, bertujuan membantu perkembangan francais dan mempromosi potensi perniagaan francais kepada masyarakat umum.

Microsite Francais Malaysia boleh diakses menerusi laman sesawang http://www.francaismalaysia.com.

Salahuddin berkata laman mikro itu berfungsi sebagai akses kepada sumber maklumat khusus mengenai francais, antaranya maklumat pembangunan industri francais negara, fungsi direktori francais dan pembiayaan serta rujukan kepada proses pendaftaran sebagai francaisor atau francaisi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*