Saifuddin : Tiada campur tangan dalam siasatan SPRM terhadap pegawai KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan campur tangan dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawainya berhubung dakwaan penyelewengan sukuk RM596 juta, kata Menterinya Saifuddin Nasution Ismail.

“SPRM bebas melakukan apa juga siasatan…sesuai dengan kewujudan dia.

“Jadi buat saya yang menerajui KDN itu adalah ruang tugas dan tanggungjawab SPRM. Mereka harus diberi peluang seluasnya untuk tunai tanggungjawab ikut lunas undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 Tahun 2023 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan memanggil pegawai KDN bagi membantu siasatan penyelewengan perjanjian sukuk bernilai RM596 juta.

Pada 15 Mac lalu, empat lelaki ditahan berhubung kes penyelewengan perjanjian sukuk RM596 juta bagi melaksanakan projek berkaitan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Harian Metro melaporkan semua individu berusia 40 hingga 55 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada 14 Mac lalu.

Difahamkan, perjanjian konsesi kerajaan dan syarikat dilantik itu dimeterai pada Julai 2011 untuk tempoh 12 tahun, dengan sukuk itu dijangka mencapai tempoh matang Mei ini.

Tindakan membenarkan syarikat itu mewujudkan akaun lain akan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada pemegang sukuk.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata kementerian juga akan memberi tumpuan terhadap kebajikan anggota polis seperti menaik taraf kemudahan tempat tinggal dan semakan gaji.

Katanya, usaha menjaga kebajikan anggota polis perlu dilakukan secara berterusan dan tidak bermusim.

“Baru-baru ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) luluskan elaun khas untuk pasukan Unit Tindakan Khas (UTK). Jadi usaha ini bukan bermusim dan kajian perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*