Rodziah berazam kembalikan mandat rakyat, sekat pengkhianat di Ampang

Calon Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) Parlimen Ampang dari Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail berazam akan mengembalikan semula kegemilangan dan mandat rakyat yang dikhianati oleh penyandang, Datuk Zuraida Kamaruddin selepas meninggalkan parti untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Rodziah berkata, walaupun tanggungjawab yang sedang dipikulnya agak berat namun perjuangan harus diteruskan demi mengembalikan pesona PKR di kawasan tersebut.

“Sebenarnya pada 2018 lepas (PRU14) kita (PKR/PH) menang tetapi malangnya kita melihat ada pengkhianatan yang berlaku sehingga runtuhnya satu kerajaan yang diamanahkan kepada PH.

“Saya rasa tanggungjawab dan amanah ini begitu berat tetapi saya dengan rendah hati akan mengambil tanggungjawab ini.

“Insya-Allah doakan saya supaya sepanjang tempoh berkempen nanti berjalan lancar dan dapat buat yang terbaik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui pada Penamaan Calon Parlimen Ampang di Dewan Dato Razali, di sini hari semalam.

Dalam pada itu, beliau meminta penduduk dan pengundi di Ampang mengambil tanggungjawab untuk menolak mereka yang mengkhianati amanah yang diberikan sebelum ini.

“Tidak kiralah dia penyandang tiga penggal sekali pun, pernah jadi menteri ke, menteri besar ke, tetapi tiada tempat untuk pengkhianat di sini,” tegasnya.

Pada PRU14, Zuraida yang ketika itu mewakili PKR menang dengan undi sebanyak 54,307 mengalahkan calon BN, Leong Kim Soon (12,351 undi) dan calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) sementara Tan Hua Meng dari Parti Rakyat Malaysia hanya memperoleh 294 undi sekali gus hilang deposit.

Kali ini, Parlimen Ampang menyaksikan pertembungan sembilan penjuru. Selain Rodziah dan Zuraida, kerusi Parlimen ini turut dicabar oleh Ivone Low Yi Wen (BN), Shasha Lyna Abdul Latiff (PN), Dr. Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang), Bryan Lai Wai Chong (Warisan) dan tiga calon bebas iaitu Muhammad Shafiq Izwan Mohd. Yunos, Tan Hua Meng dan M. Raveendran.

Turut baca :

Rodziah berazam kembalikan mandat rakyat, sekat pengkhianat di Ampang

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*