Rempuh kenderaan polis di Melaka, remaja 18 tahun meninggal dunia selepas 9 jam bertarung nyawa

POLIS mengesahkan remaja lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan melibatkan kenderaan polis (Black Maria) di Jalan Gangsa Kesang dekat Durian Tunggal Melaka pada Rabu meninggal dunia.

Mangsa, Mohammad Khairul Basahri, 18, dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka (HM) meninggal dunia di hospital berkenaan selepas lebih sembilan jam bertarung nyawa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, Mohammad Khairul Basahri disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman pada pukul 12.37 tengah malam Rabu.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian 2.56 pagi Rabu, semasa pacuan empat roda polis terbabit melakukan tugas rondaan cegah lumba haram sebelum dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa.

“Terdahulu, kenderaan terbabit dipandu anggota dari Balai Polis Durian Tunggal yang ke lokasi kejadian selepas menerima aduan awam berkaitan bunyi bising serta terdapat aktiviti lumba haram di kawasan berkenaan.

“Anggota terbabit menyalakan beacon light serta bunyi siren amaran ketika memandu ke lokasi.

“Menyedari kehadiran polis, semua individu yang berkumpul di tepi jalan berkenaan bertempiaran lari dengan menaiki motosikal masing-masing.

“Namun, sewaktu kenderaan polis cuba membelok ke arah kanan jalan, ia dilanggar oleh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal yang juga pekerja sambilan di sebuah kilang perabot, parah di bahagian kaki dan badan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan, manakala anggota polis berusia 37 tahun tidak cedera.

Menurut Zainol, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.

“Polis juga akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tersebut secara telus dan adil,” jelasnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*